Selepas lebih dua tahun menanggung kos subsidi telur ayam, kerajaan kini telah membuat keputusan untuk menamatkan subsidi bantuan tersebut bermula Ogos 2025.
KPKM umum subsidi telur akan ditamatkan
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan yang dikongdikan di media sosial.
KPKM menjelaskan bahawa pengeluaran telur ayam kini sudah stabil dan mencukupi, jadi subsidi berkenaan tidak lagi diperlukan.
“Ini terbukti sepanjang musim perayaan Aidilfitri yang lalu, di mana ketersediaan bekalan mencukupi dengan harga yang kompetitif,” katanya.
Subsidi telur akan ditamatkan selepas diberi sejak beberapa tahun
Difahamkan, pada 17 Jun 2024, kerajaan menurunkan harga telur gred A, B dan C sebanyak 3 sen yang mana masing-masing kepada 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji.
Ia merupakan sebahagian dari usaha meringankan beban pengguna pada waktu tersebut.
Artikel lain: Had pembelian beras dinaikkan kepada lima kampit seorang – Mat Sabu
Sudah peruntukkan RM2.5 bilion sejak 2022
Namun menurut KPKM, sejak Februari 2022 hingga Disember tahun lalu, kerajaan sudah membelanjakan hampir RM2.5 bilion untuk subsidi telur ayam bagi membantu industri menampung kenaikan kos pengeluaran.
“Kerajaan juga sudah mengambil kira tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi yang terlalu lama ialah sesuatu yang tidak mampan kepada kelangsungan industri pengeluar telur tempatan serta kewangan negara,” ujar menerusi kenyataan hari ini.
Walau bagaimanapun, KPKM menyebut bahawa komitmen pihak industri dalam memastikan pengeluaran telur kekal stabil jadi faktor utama subsidi ditamatkan.
Ini bermakna, bermula Ogos nanti, pengguna akan membeli telur tanpa bantuan subsidi kerajaan, namun bekalan dijangka tetap mencukupi dan harga kekal kompetitif.
Sumber: Facebook Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan