am@hmetro.com.my
Jasin: Bayi perempuan berusia dua bulan meninggal dunia, manakala ibu bapanya cedera selepas kereta dinaiki merempuh lori membuat pusingan U di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Batu Gajah, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, bayi itu, Nur Hafirzah Qintina Shahrul Asraf Naim meninggal dunia selepas lebih dua jam dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.
Katanya, bapa Shahrul Asraf Naim Khasiran, 35, dan ibunya, Nurulnadiah Balqis Abdullah, 22, masing-masing mengalami luka di dahi dan di kepala.
Menurutnya, kemalangan berlaku pada 2.15 petang apabila kereta Toyota Vios dinaiki tiga beranak itu dalam perjalanan dari arah lampu isyarat Lebuh AMJ menuju Batu Gajah.
“Setiba di lokasi, lori dipandu lelaki berusia 33 tahun yang dari arah sama masuk ke lorong pusingan U dan dilanggar dari belakang oleh kereta terbabit.
“Pelanggaran menyebabkan pemandu dan penumpang kereta cedera dengan bayi meninggal dunia ketika rawatan. Pemandu lori tidak cedera,” katanya yang memaklumkan kematian bayi dimaklumkan pihak hospital pada 5 petang.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Mohd Izzuwan Jafri di talian 019-7242479 atau kaunter aduan trafik IPD Jasin 06-5292222.
Ā© New Straits Times Press (M) Bhd