Obses anak patung Barbie!

Obses anak patung Barbie!

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bermula dengan membeli satu anak patung Barbie lima tahun lalu menjadi permulaan buat pemuda ini untuk terus menjadi pengumpul mainan itu sehingga kini.

Setakat ini, Muhammad Fahmie Mohd Zaid, 27, sudah mengumpul 200 anak patung pelbagai karakter iaitu Barbie, Rainbow High, Shadow High, Ever After High, Disney Poppy Park dan Integrity Doll yang semuanya dianggarkan bernilai hampir RM30,000.

Berkongsi kisahnya, Muhammad Fahmie berkata, minat terhadap anak patung sudah ada sejak di sekolah rendah lagi dan dia pernah memiliki koleksi Barbie satu ketika dulu cuma tidak banyak.

“Saya mula kumpul balik waktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu ketika Covid-19 melanda yang mana koleksi anak patung Barbie pertama dibeli di kedai mainan dengan harga lebih RM30.

“Mulanya beli untuk hilangkan bosan kemudian jadi seronok tengok kepelbagaian dan peralihan era fesyen Barbie daripada 90-an sampai sekarang, jadi itu yang jadi pendorong untuk tambah koleksi sedia ada.

“Keluarga mulanya kata saya membazir, tapi bila jelaskan, mereka faham dan kawan pengumpul mainan banyak beri galakan untuk tambah koleksi,” katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Kampung Bandar Dalam di sini.

Lantaran minatnya itu, Muhammad Fahmie yang bekerja sebagai jurujual minyak wangi sanggup memperuntukkan sejumlah wang hasil simpanannya untuk membeli anak patung baru.

Anak ketiga daripada empat beradik itu tidak berasa terbeban kerana bukan membuat pembelian anak patung setiap bulan namun mengikut keadaan.

“Saya simpan duit untuk beli dan misalnya bulan ini tak dapat, saya tangguh serta beli pada bulan depan.

“Tak rasa berat atau terbeban pun dengan hobi ini kerana mainan itu ada nilainya.

“Pernah juga terfikir nak jual, tapi tak jadi sebab tahu susah nak dapat balik yang sama,” katanya.

Setakat ini, Muhammad Fahmie mempunyai dua koleksi Barbie dibeli dengan pembekal di Amerika Syarikat (AS) secara dalam talian.

Katanya, dua anak patung itu yang paling mahal dalam koleksinya kerana masing-masing dibeli dengan harga RM1,200 dan RM1,500.

“Sebahagian koleksi mainan saya dibeli di kedai, kiranya yang baru. Tapi ada juga mainan terpakai yang dibeli daripada rakan pengumpul.

“Saya letak semua koleksi itu dalam rak dekat sebuah bilik di dalam rumah dan seminggu sekali akan lap anak patung itu dan tukar pakaiannya.

“Ada pakaian Barbie saya jahit sendiri dan setakat ini, tak ada yang pernah hilang malah saya boleh ingat setiap satu kerana beli dengan duit sendiri,” katanya.

Muhammad Fahmie berkata, buat masa ini, dia masih seronok dengan hobinya itu dan belum terfikir untuk berhenti.

Ia kerana selain mengumpul, dia dapat memberi hadiah anak patung kepada pengikut di TikTok berkongsi cerita menarik dengannya di platform berkenaan.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top