Jemput penilai luar nilai pengadil aksi final

Jemput penilai luar nilai pengadil aksi final

PENGANALISIS sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli, menyarankan agar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil langkah proaktif dengan menjemput penilai bebas dari Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) atau Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi menilai mutu pengadil tempatan.

Beliau berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan pengadilan dalam perlawanan akhir berintensiti tinggi seperti Piala Sumbangsih, Piala FA, Piala Cabaran dan Piala Malaysia berada pada tahap profesionalisme tertinggi.

“Mungkin selepas ini kita perlu jemput penilai dari AFC atau FIFA untuk menilai pengadil dalam perlawanan akhir piala-piala utama Liga Malaysia. Biar mereka yang menilai secara bebas.

“Saya percaya penilaian oleh pihak berkecuali ini akan memberikan gambaran yang lebih telus tentang kemampuan sebenar pengadil tempatan,” katanya kepada Sukan Sinar.

Isu mutu pengadilan kembali menjadi topik perdebatan hangat susulan aksi final Piala Malaysia baru-baru ini membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang yang menyaksikan beberapa keputusan pengadil dipertikaikan.

Mengulas lanjut, Pekan turut melahirkan rasa hairan terhadap prestasi pengadil Malaysia yang sering mempamerkan mutu cemerlang di pentas antarabangsa, namun berdepan kritikan apabila mengadili perlawanan di peringkat domestik.

“Mereka mampu beraksi dengan cemerlang ketika bertugas di luar negara, tetapi apabila kembali mengadili perlawanan dalam negara, pelbagai kontroversi pula timbul.

“Mungkin melalui penilaian pihak luar, kita dapat menilai secara lebih objektif mutu sebenar pengadil kita,” tambahnya.

Dalam masa sama, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menegaskan bahawa FAM perlu mengambil tindakan tegas terhadap pengadil yang gagal mempamerkan keadilan dalam tugasan mereka.

“Jika terbukti berlaku ketidakadilan, FAM tidak harus teragak-agak menarik semula lencana pengadil terbabit. Integriti dalam profesion pengadilan mesti dipelihara,” tegasnya.

Mengulas cadangan sesetengah pihak supaya pengadil luar digunakan untuk perlawanan akhir, Pekan menegaskan bahawa isu sebenar bukanlah soal penggunaan pengadil import, sebaliknya berkisar kepada integriti pengadil itu sendiri.

“Ini bukan soal perlu atau tidak guna pengadil luar. Yang paling penting adalah integriti.

“Sehebat mana pun seorang pengadil, jika integriti tidak ada, ia tidak bermakna,” katanya.

Scroll to Top