am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: kerajaan negeri mengumpul data usahawan dan pekerja dalam sektor penjualan vape bagi merangka bantuan serta tawaran latihan kepada mereka yang terkesan susulan pengharaman penjualan produk berkenaan di Terengganu mulai 1 Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, usaha itu untuk membolehkan kerajaan negeri menyalurkan bantuan serta latihan bagi membantu penggiat industri yang terjejas memulakan perniagaan baharu.
“Kita akan bekerjasama dengan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) membantu mereka yang berminat untuk memulakan perniagaan baharu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Wan Sukairi berkata, persatuan vape di negeri itu ada memohon tempoh penguatkuasaan larangan penjualan vape dilanjutkan dari tiga ke enam bulan, namun kerajaan negeri mengekalkan tempoh tiga bulan kerana ia dianggap mencukupi.
Katanya, larangan itu sudah dimaklumkan lebih awal kepada persatuan dan mereka turut bersetuju untuk tidak menambah stok vape baharu serta menghabiskan stok sedia ada.
Ditanya mengenai penggunaan pula, beliau berkata, ia tidak menjadi satu kesalahan kepada mereka yang menghisap vape.
“Menghisap vape tidak salah kerana kita tidak boleh menghalang mereka melakukan perbuatan (menghisap vape) itu.
“Tetapi jika ia dihisap di kawasan yang diwartakan kawasan larangan merokok, ia menjadi satu kesalahan dan boleh dikenakan kompaun sama seperti yang dikenakan kepada perokok,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd