Had laju maksimum di zon sekolah diwarta kepada 30 km/j – Loke

Had laju maksimum di zon sekolah diwarta kepada 30 km/j – Loke

am@hmetro.com.my

Seremban: Kerajaan akan mewartakan kadar had laju maksimum di kawasan sekolah daripada 50 kepada 30 kilometer sejam (km/j) dalam masa terdekat demi meningkatkan keselamatan khususnya membabitkan pelajar sekolah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya, sudah membuat keputusan dasar mengenai perkara itu, baru-baru ini.

Katanya, langkah itu diambil untuk mewujudkan zon sekolah yang selamat kerana ia mempunyai sejarah kemalangan jalan raya, terutama membabitkan pelajar yang berjalan kaki atau berbasikal.

“Langkah ini diambil susulan data saintifik data yang dibuat kajian, iaitu kalau ia dapat dikurangkan kepada 30 km/j, risiko kematian akibat daripada kemalangan agak rendah.

“Kajian itu turut menyatakan setiap pertambahan 10 km/j kelajuan akan meningkatkan risiko kematian pelajar,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Malaysia Kali Ke-61, di Hotel Royal Chulans, di sini, lewat petang tadi.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkuta, Datuk Jana Santhiran Muniayan.

Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban, berkata pelaksanaan had laju itu memerlukan kerjasama kementerian lain dan pihak berkuasa tempatan (PBT) terutama dari segi menyediakan beberapa kemudahan berkaitan.

“Pelaksanaan pengezetan ini akan mengambil kira kedudukan sekolah, jika berada di Jalan Persekutuan ia di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) dan ada juga sekolah yang berada di bawah kawasan PBT seperti di taman perumahan.

“Keputusan ini sudah dimaklumkan dengan kementerian dan PBT terbabit. Pihak berkenaan perlu mengambil tindakan dari segi menyediakan kemudahan atau perkakasan jalan raya di kawasan zon sekolah termasuk rekabentuk halangan, lintasan kuning, papan tanda dan perkakas di tepi jalan supaya pengguna yang melalui kawasan zon sekolah, mereka perlu mengurangkan had laju,” katanya.

Dalam pada itu, Loke berkata, MKJR perlu dihidupkan semula untuk menerajui inisiatif keselamatan jalan raya membabitkan keseluruhan masyarakat.

Menurut beliau, MKJR akan menggerakkan program berkenaan tahun ini di sekolah terpilih bagi memberi impak yang positif kepada pelajar sekolah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top