PETALING JAYA: Penyanyi, Sufian Suhaimi mengakui sambutan raya pada tahun ini lebih emosi selepas mengetahui salah seorang ahli keluarganya menghidap kanser payudara tahap tiga.
Menurut Sufian, khabar itu secara tidak langsung mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan meskipun berdepan ujian.
“Raya kali ini lebih emosi sebab awal tahun ada ahli keluarga rapat saya didiagnos kanser payudara. Jadi terkejut bila dapat tahu, hari yang gelap awal-awal. Masing-masing masih lagi sukar terima hakikat macam mana boleh terjadi dan apa puncanya.
“Namun, kami reda dan Alhamdulillah dia sangat kuat. Nampak perkembangan baik selepas beberapa kali menjalani kemoterapi walaupun bulu mata dan rambut sudah gugur.
“Hikmah di sebalik ujian, kami sekeluarga jadi lebih rapat. Saudara-mara yang jauh ramai datang menziarah, walaupun berat tetapi tahun ini sangat bermakna kerana dapat bina ukhwah keluarga lebih rapat dan kuat,” katanya.
Sufian berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis Ritma Riang Raya 2025 bersama Rusa Music, baru-baru ini.
Enggan mendedahkan identiti keluarga yang menghidap kanser tersebut, Sufian bagaimanapun bersyukur kondisi insan tercintanya itu bertambah baik.
“Alhamdulillah, perkembangan dia sangat baik dan doktor cakap proses penyembuhan agak cepat dan harap dia sembuh macam biasa.
“Nampak peluang untuk sembuh sangat cerah. Bagi saya penting sebagai keluarga dan kawan-kawan beri sokongan.
“Terima kasih kepada semua yang suntik semangat dari awal tahun dan raya, tak putus orang bagi kata-kata semangat serta datang melawat,” jelasnya.
Dalam masa sama, penyanyi Menggenggam Bahagia itu turut menyifatkan Syawal kali ini disambut dengan berbeza bahkan, lebih sentimental berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana ujian yang menimpa keluarga mereka.
“Memang ini pengalaman yang tidak pernah terbayang akan lalui. Salam raya jadi rutin tetapi tahun ini masing-masing peka dengan kondisi ahli keluarga.
“Ucapan raya lebih kepada ‘kalau jadi apa-apa tolong kekalkan silaturrahim bersama keluarga. Adik-beradik jangan gaduh, anak-anak jaga ibu ayah’.
“Jadi, memang satu pengalaman sedih kalau nak diceritakan tetapi raya kali ini sangat berbeza,” ujarnya.-UTUSAN