
Sekurang-kurangnya 65 peratus rakyat Palestin yang maut dalam serangan tentera Israel di Gaza adalah wanita, kanak-kanak dan warga emas – Foto: Reuters
ANKARA – Sekurang-kurangnya 65 peratus rakyat Palestin yang maut dalam serangan tentera Israel di Gaza adalah wanita, kanak-kanak dan warga emas, lapor Anadolu Ajensi (AA) memetik pihak berkuasa tempatan Gaza pada Ahad.
Dalam satu kenyataan, Pejabat Media Kerajaan yang berpangkalan di Gaza mengesahkan bahawa lebih 18,000 kanak-kanak dan 12,400 wanita sejak 7 Oktober 2023 terkorban dalam serangan tentera Israel, selain memusnahkan 2,180 keluarga secara keseluruhan.
Selain itu, 5,070 keluarga lain kini hanya tinggal seorang ahli keluarga sahaja yang masih hidup.
Serangan Israel turut mengorbankan 1,400 petugas perubatan, 212 wartawan dan 750 pekerja bantuan. Kenyataan itu turut menyebut bahawa “serangan sistematik… telah menyebabkan sistem kesihatan Gaza runtuh dan mereka berusaha untuk menutup kebenaran.”
Kenyataan itu mengesahkan bahawa fakta di lapangan, bersama-sama keterangan daripada juruterbang Israel dan kebocoran maklumat ketenteraan yang didedahkan oleh organisasi hak asasi manusia, mengakui pengeboman ke atas rumah-rumah orang awam dan kawasan kejiranan dilakukan secara sengaja.
“Fakta ini tidak meragukan bahawa pengeboman ke atas orang awam di Gaza merupakan dasar sistematik penjajahan Israel dalam perancangannya untuk melakukan jenayah pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik,” menurut kenyataan itu.
Tentera Israel menyambung semula serangan ke atas Gaza pada 18 Mac, sekali gus menamatkan perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang dicapai pada 19 Januari.
Lebih 52,200 rakyat Palestin terkorban dalam serangan Israel di Gaza sejak Oktober 2023, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant pada November lepas atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung peperangan di wilayah itu. – Bernama