Lihat minat, potensi diri sebelum pilih kursus pengajian

Lihat minat, potensi diri sebelum pilih kursus pengajian

am@hmetro.com

Kuala Lumpur: Bukan hanya perlu memenuhi impian akademik atau tekanan luar, tetapi melihat kepada minat dan potensi diri.

Itu nasihat Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Azizah Zain kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ingin memilih kursus pengajian di universiti.

Katanya, pemilihan kursus perlu dilakukan secara teliti, dengan mengambil kira pelbagai faktor penting.

“Pelajar harus mempertimbangkan minat, kebolehan, potensi kerjaya serta kesesuaian personaliti dengan bidang pilihan, dan tidak seharusnya membuat keputusan secara terburu-buru.

“Pelajar juga perlu menilai kekuatan akademik, memahami keperluan industri semasa dan masa hadapan, serta memastikan diri mampu berkomitmen sepanjang tempoh pengajian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azizah berkata, walaupun ada yang yakin terhadap minat masing-masing, pelajar digalakkan menjalani ujian minat kerjaya, menyertai program bimbingan serta terbabit dalam aktiviti kokurikulum sebagai penilaian kendiri.

“Pelajar perlu mendapatkan pandangan guru kaunselor, alumni atau pakar dalam bidang berkaitan dan keputusan akhir mestilah berdasarkan minat dan keupayaan diri sendiri.

“Memilih kursus tanpa minat sebenar boleh membawa risiko kehilangan motivasi, kemerosotan prestasi akademik, tekanan emosi, bahkan ada yang mengambil keputusan berhenti belajar.

“Peluang pekerjaan dalam bidang yang dipilih juga perlu diberi perhatian serius. Selain minat, pelajar perlu menilai keperluan pasaran kerja, prospek kerjaya dan peluang kenaikan pangkat.

Beliau berkata, tekanan daripada keluarga dan rakan sebaya dalam memilih bidang pengajian adalah perkara biasa, namun pelajar perlu berbincang secara rasional dengan ibu bapa.

“Laluan selepas SPM bukanlah terhad kepada universiti sahaja, sebaliknya kolej vokasional, politeknik, institusi latihan kemahiran dan program keusahawanan turut menawarkan peluang yang cerah.

“Kita perlu mengubah persepsi universiti sahaja menjamin kejayaan, sebaliknya laluan teknikal dan vokasional juga mempunyai potensi besar untuk melahirkan graduan yang berjaya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top