Model kerjasama PH-BN formula stabilkan politik, majukan negara

Model kerjasama PH-BN formula stabilkan politik, majukan negara

SEREMBAN: Kerjasama di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) merupakan ‘formula’ terbaik yang bukan sahaja dapat menstabilkan keadaan politik tetapi juga menjadi ‘ramuan’ memajukan negara.

Anthony Loke Siew Fook (PH-Chennah) berkata, kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK)  Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning baru-baru ini menunjukkan sokongan terhadap kerjasama dua parti itu dalam Kerajaan Perpaduan juga meningkat.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP menambah, kerjasama baik di antara parti di dalam kerajaan adalah penting bagi memastikan kelangsungan pentadbiran yang baik.

“Setinggi-tinggi tahniah kepada BN atas kejayaan mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning.

“Kemenangan ini bukan sahaja memberi mandat kepada calon BN tetapi merupakan satu manifestasi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan kerana majoritinya meningkat satu kali ganda.

“Saya tidak faham apa dikatakan kalau majoriti itu meningkat, dia kata itu kalah, undi berkurangan, itu orang gagal matematik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan  Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja Persidangan Pertama (Perasmian ) Penggal Ketiga DUN Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini, hari ini.

Tambah Anthony Loke, kemenangan itu juga merupakan bukti bahawa rakyat menolak politik kebencian, berdasarkan fitnah dan yang ingin memecahkan rakyat Malaysia.

“Rakyat Malaysia secara amnya ingin melihat politik lebih bersih, politik kesepakatan, kerjasama, perpaduan. Dengan adanya kesepakatan dan kerjasama ini maka negara akan terus makmur dan maju ke hadapan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Menteri Pengangkutan meminta kerajaan Negeri Sembilan menerusi Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) untuk segera memproses permohonan kebenaran merancang bagi membolehkan komponen perluasan projek pembangunan khususnya di kawasan Malaysia Vision Valley (MVV) 2.0 dapat dilaksanakan segera.

Jelasnya, pembangunan projek berkenan mampu menjadi pemangkin yang penting kepada pembangunan ekonomi Negeri Sembilan.

Tambah beliau, kertas pertimbangan cadangan pembangunan MVV 2.0 di Negeri Sembilan yang merangkumi Daerah Seremban dan Port Dickson telahpun dibawa dalam mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) baru-baru ini. – UTUSAN

Scroll to Top