KHAN YOUNIS: Penduduk Palestin yang dipindahkan ke kawasan Mawasi di Khan Yunis, selatan Semenanjung Gaza, kini berdepan krisis kesihatan kritikal akibat longgokan sampah domestik yang tidak dikutip, lapor Pusat Maklumat Palestin.
Um Yasser Dawoud, seorang pesakit asma yang tinggal di dalam khemah di kawasan itu, berkata keadaan kesihatannya semakin teruk akibat bau busuk dari sampah dan kumbahan yang merebak setiap kali angin bertiup.
“Tempat ini menjadi punca pelbagai penyakit. Anjing liar berkeliaran dan menyalak setiap malam, menakutkan kanak-kanak. Nyamuk dan lalat pula tidak pernah meninggalkan khemah kami,” katanya
Keadaan bertambah buruk apabila bangkai haiwan turut dibuang di kawasan sampah yang sama kerana kesukaran untuk menanamnya akibat kekangan dan pengeboman berterusan oleh tentera Israel.
“Bangkai ini menyebabkan bau semakin busuk dan penyakit mudah tersebar melalui ulat serta serangga yang memenuhi kawasan ini,” tambah Um Yasser.
Mohammed Abu Dan, penduduk daerah Al-Saha di Gaza Tengah, berkata longgokan sampah yang tidak terkawal menyebabkan anak perempuannya yang berusia empat bulan mengalami masalah kulit akibat gigitan nyamuk dan lalat.
“Kulit anak saya dipenuhi gelembung kecil dan sangat gatal. Saya cuba guna cara tradisional untuk halau serangga kerana tiada racun serangga atau alat pengasapan, tetapi semua usaha gagal,” katanya.
Menurut Pengarah Perancangan di Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Sam Rose, penduduk Gaza kini hidup di atas timbunan sampah kerana tiada pilihan lain dan pemindahan besar-besaran telah membebankan semua pihak.
UNRWA sebelum ini mengesahkan timbunan sampah di Gaza mengancam kesihatan dan nyawa penduduk. Dalam satu hantaran di media sosial pada 28 Mac, agensi itu berkata ramai penduduk terpaksa tinggal di khemah yang didirikan di tengah timbunan sampah, menambahkan lagi cabaran dari segi kesihatan dan alam sekitar.
Majlis Perbandaran Gaza memberi amaran tentang bencana kesihatan dan alam sekitar yang belum pernah berlaku sebelum ini mengancam nyawa penduduk akibat longgokan sampah, kebocoran kumbahan dan pereputan mayat di bawah runtuhan rumah serta infrastruktur awam yang dibom oleh tentera Israel.
Jurucakap majlis, Hosni Mehanna, berkata bandar Gaza kini menanggung beban lebih 175,000 tan sampah pepejal yang terkumpul di jalan-jalan kerana tentera penjajah menghalang pasukan perbandaran daripada mengakses tapak pelupusan utama di Juhor Ad-Dik, di timur bandar itu. – AGENSI