
Yi Wei (tiga dari kiri) dan Pengarah Eksekutif MSNS, Mohamad Nizam Marjugi bersama barisan penaja (tiga, kanan) selepas sidang akhbar Liga MSNS-KRS 2025 di Shah Alam pada Rabu. Foto: Majlis Sukan Negeri Selangor
KESATUAN Ragbi Selangor (KRS) akan menumpukan usaha pencarian pemain yang memiliki ‘naluri pembunuh’ dalam saingan Liga Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS)-KRS 2025, sebagai persiapan menghadapi Piala Agong dan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Presiden KRS, Lim Yi Wei berkata, walaupun komitmen pemain Selangor dalam Piala Agong tahun lalu amat tinggi, terdapat kekurangan dari segi ketajaman menyempurnakan peluang ketika saat-saat genting.
“Berdasarkan prestasi dalam Piala Agong, saya akui para pemain telah berusaha sehabis baik malah keputusan 2024 lebih cemerlang, cuma apa yang kurang adalah ‘naluri pembunuh’.
“Saya sedikit bimbang apabila pemain kelihatan teragak-agak untuk membuat keputusan pantas di zon serangan, sekali gus menggagalkan peluang menjaringkan mata. Kerjasama pasukan memang baik, tetapi dalam situasi tertentu, ketidakyakinan menyebabkan peluang keemasan disia-siakan.
“Sebab itu, aspek ‘naluri pembunuh’ ini amat penting. Kita mahu melatih pemain a.gar lebih yakin membuat keputusan sendiri dan tidak teragak-agak ketika beraksi,” jelas beliau dalam sidang media pelancaran Liga MSNS-KRS 2025 di Shah Alam, Khamis.
Menurut Yi Wei yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Liga MSNS-KRS 2025 juga akan menjadi medan utama mengenal pasti bakat baharu yang berpotensi mewakili Selangor ke SUKMA 2026.
“Itulah harapan besar kami. Daripada liga ini, kami akan meneliti dan memilih pemain yang menonjol untuk menyertai skuad SUKMA Selangor tahun depan.
“Bagi pasukan wanita, tekanan agak tinggi memandangkan mereka adalah penyandang pingat emas SUKMA Sarawak lalu. Manakala bagi pasukan lelaki, kami meletakkan harapan tinggi untuk melihat kebangkitan semula mereka di edisi 2026,” katanya.
INFO
LIGA MSNS-KRS 2025
(26 April – 5 Julai)
Venue: di Padang Astaka, Petaling Jaya
Perlawanan akhir pusingan kedua
(12 dan 13 Julai)
Venue: Stadium Sultan Suleiman, Klang.
DIVISYEN SATU
KL Tigers RFC
UiTM Lions
RMAF Blackhawks
Cobra
RSC K9s
ARC Knight
DIVISYEN DUA
SMS Old Boys
Rhinoz Warriors
Cobra Stings
KL Tigers RFC
DIVISYEN WANITA
Cobra Venom
ATM
Sarawak
UPNM Barbarians
KL Tigers RFC