Raih 9A SPM, anak penoreh getah mahu ubah nasib keluarga

Raih 9A SPM, anak penoreh getah mahu ubah nasib keluarga

RAUB: “Saya mahu ubah nasib keluarga.”

Itu kata-kata penuh tekad Noor Hafisah Ismail, 18, pelajar Sekolah Menengah Agama Al-Ulum Addiniah, Dong di sini yang meraih keputusan cemerlang 8A+ dan 1A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Noor Nafisah yang berasal dari Kampung Melayu Jerkoh, Lipis berkata, dibesarkan dalam keluarga serba kekurangan, dia ingin membuktikan bahawa kemiskinan bukan penghalang untuk berjaya dalam akademik.

Katanya, ibu bapanya, Ismail Samad, 58, dan Radiah Ismail, 56, bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan namun tidak pernah mengabaikan pendidikan anak-anak.

“Saya selalu terfikir, kalau saya tidak berusaha dan berjaya, siapa lagi yang akan bantu keluarga kami keluar daripada kesusahan ini. Selain itu, saya ingin membuktikan kemiskinan bukan penghalang untuk kita beroleh keputusan cemerlang dalam pelajaran,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut anak bongsu dari dua beradik itu, kejayaan tersebut bukanlah hasil usaha sehari dua, sebaliknya merupakan ha­sil kerja keras berterusan sepanjang lima tahun persekolahan.

“Saya beri 100 peratus tumpuan semasa di dalam kelas dan tidak pernah malu berta­nya jika tidak faham. Tinggal di asrama juga banyak membantu saya fokus pada pelajaran,” katanya.

Menurut Noor Hafisah, kini dia menyambung pelajaran di Kulliyah Al-Lughah Waddin di Pekan dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sebagai persiapan untuk ke institut pendidikan guru (IPG).

“Saya minat bahasa Arab dan bercita-cita untuk menjadi guru dalam bidang itu. Saya mahu ajar anak bangsa, terutama dari kampung seperti saya,” katanya penuh semangat.

Sementara itu, ibunya, Radiah tidak dapat menahan sebak apabila menerima berita gembira itu selepas semakan keputusan dibuat secara dalam talian.

Katanya, anak bongsunya itu sentiasa menunjukkan minat mendalam terhadap pelajaran dan tidak pernah lalai walaupun hidup dalam serba kekurangan.

“Dia selalu kata nak jadi harapan keluarga. Kami pun tak pernah paksa, tapi dia sendiri yang kuat semangat. Alhamdulillah, Allah makbulkan doa kami,” katanya.-UTUSAN.

 

Scroll to Top