Pencapaian Terbaik SPM Sejak 2013, MRSM Cipta Lonjakan Luar Biasa

Pencapaian Terbaik SPM Sejak 2013, MRSM Cipta Lonjakan Luar Biasa

Saya mengucapkan tahniah kepada semua calon SPM 2024 yang telah menerima keputusan hari ini, dengan pencapaian yang amat membanggakan, termasuk peningkatan bilangan pelajar cemerlang dan Gred Purata Kebangsaan terbaik sejak 2013.

Keputusan ini mencerminkan kecemerlangan dan dedikasi para pelajar yang telah berusaha untuk mencapai keputusan yang cemerlang tanpa berputus asa beserta pengorbanan dan sokongan berterusan dari ibu bapa serta para pendidik.

Sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), saya turut berbangga apabila pencapaian seramai 7,650 calon SPM dari kesemua 55 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM). Gred purata (GP) oleh calon SPM daripada MRSM telah meningkat kepada 1.892 berbanding 2.392 pada tahun lalu.

Tahun ini sebanyak 10 MRSM telah mencatatkan prestasi cemerlang dengan GP di bawah 1.50 berbanding hanya 1 MRSM pada tahun lalu. Manakala, 31 MRSM mencatatkan pencapaian luar biasa dengan GP di bawah 2.00 berbanding hanya 9 MRSM sahaja pada tahun lalu.

Seramai 1670 daripada 7650 pelajar MRSM iaitu 21.83% memperoleh gred semua A (A+ ,A dan A-). Jumlah ini menunjukkan peningkatan berbanding 1131 pelajar pada SPM 2023.

Pada tahun 2023, seramai 50 calon MRSM memperoleh keputusan semua A+ (10A+ dan 9A+) dalam semua subjek yang diambil, tahun ini pencapaian tersebut telah meningkat kepada 69 orang iaitu 8 calon memperoleh 10A+ dan 61 calon memperoleh 9A+.

Daripada keseluruhan 55 MRSM seluruh negara, 54 MRSM berjaya mencatatkan peningkatan GP. MRSM Beseri dan MRSM Balik Pulau menunjukkan peningkatan GP tertinggi dengan masingmasing menunjukkan lonjakan GP sebanyak 1.408 dan 1.171.

Walau apa jua keputusan yang diperoleh, keputusan ini merupakan permulaan langkah ke peringkat kehidupan seterusnya yang akan mencorakkan masa depan, sama ada meneruskan pengajian akademik, menyertai dunia pekerjaan, atau menceburi bidang teknikal dan kemahiran.

Ruang pendidikan sentiasa terbuka luas kepada semua calon SPM. Selain laluan akademik di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, Kerajaan turut menyediakan jalur pendidikan melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini diiktiraf sebagai pemacu utama pembangunan negara. TVET bukan sahaja berperanan memperkasakan modal insan, tetapi juga membina asas kukuh kepada ekonomi berpendapatan tinggi yang bergantung kepada tenaga kerja mahir dan kompeten.

Sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, saya komited untuk memastikan agenda TVET diangkat sebagai salah satu aliran pendidikan utama, bukan sekadar pilihan alternatif bagi mereka yang kurang cemerlang dalam akademik. Kini, kita telah menyediakan saluran UP_TVET sebagai platform rasmi bagi
memohon dan melanjutkan pengajian dalam bidang ini.

Kini, terdapat 12 Kementerian yang menawarkan program TVET melibatkan 1,398 institusi TVET dengan jumlah pelajar menyertai bidang TVET pada tahun lepas juga meningkat kepada lebih 436,285 peserta berbanding 407,038 pada 2023. Kadar kebolehpasaran graduan TVET mencecah 94.5 peratus termasuk kebolehpasaran graduan daripada institusi TVET di bawah MARA pula pada kadar 98.7 peratus.

Tahniah kepada semua calon SPM 2024. Gunakan peluang yang terbentang untuk memilih laluan yang selari dengan minat dan potensi anda. Saya percaya andalah generasi pelakar perubahan, yang akan membina Malaysia yang lebih maju, berkemahiran tinggi dan berdaya saing di pentas dunia.

Kenyataan Media Timbalan Perdana Menteri.
Ahmad Zahid Hamidi
Timbalan Perdana Menteri
Pengerusi Majlis TVET Negara
24 APRIL 2025


Scroll to Top