China ‘ajar’ Trump cara runding tarif

China ‘ajar’ Trump cara runding tarif

BEIJING – China memberi amaran keras kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump agar tidak menggunakan ancaman tarif sebagai taktik dalam rundingan perdagangan antara kedua-dua negara.

Amaran itu hadir selepas Trump mengumumkan bahawa beliau bersedia untuk mengurangkan kadar tarif terhadap barangan dari China, selepas dasar keras beliau sebelum ini menyebabkan pasaran saham menjunam, melemahkan dolar AS serta menjejaskan perniagaan kecil dan pekerjaan rakyat.

Bagaimanapun, China menegaskan bahawa sebarang perbincangan hanya boleh berlaku jika AS menghentikan segala bentuk tekanan dan ugutan.

Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun dalam sidang media harian berkata, Beijing tidak gentar dengan perang perdagangan.

“Kami tidak mahu berperang, tetapi kami juga tidak takut. Jika Amerika Syarikat benar-benar mahu menyelesaikan isu ini secara dialog dan rundingan, hentikan ugutan dan tekanan.

“Rundingan mesti dijalankan secara adil, dengan saling menghormati dan mengutamakan manfaat bersama,” katanya pada Khamis.

Tambah Guo, pendekatan Washington yang terus-menerus memberi tekanan sambil bercakap soal damai bukanlah cara yang sesuai untuk berurusan dengan China.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent pula mengakui bahawa proses rundingan dengan China agak perlahan, malah beliau sendiri tidak pasti sama ada terdapat komunikasi aktif antara kedua-dua pihak ketika ini. Namun, beliau menegaskan perang perdagangan yang sedang berlangsung adalah tidak mampan.

Dalam kenyataan terbaharu di Rumah Putih, Trump mendakwa China telah ‘mempermainkan’ AS selama ini dengan menjual barangan murah, tetapi menegaskan keadaan itu tidak akan berterusan.

“Mereka tahu mereka tak boleh ambil kesempatan lagi. Kita mahu jadikan negara kita kembali dihormati, bukan bahan ketawa dunia,” katanya.

Apabila ditanya sama ada rundingan dengan China sedang berjalan, Trump menjawab: “Aktif. Semuanya aktif.”

Akhbar The Wall Street Journal melaporkan bahawa pentadbiran Trump sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan tarif terhadap barangan dari China daripada 145 peratus kepada antara 50 hingga 65 peratus.

Trump sebelum ini mengakui bahawa kadar tarif 145 peratus yang dikenakan terlalu tinggi dan menyatakan ia akan diturunkan, namun tidak sampai kepada sifar.

Sebagai tindak balas, China pula mengenakan tarif sebanyak 125 peratus ke atas barangan dari Amerika Syarikat.

Trump turut berkata, beliau merancang untuk ‘bersikap sangat baik’ terhadap China demi mencapai satu perjanjian yang memanfaatkan kedua-dua pihak. -Agensi

Scroll to Top