Nik Nurul Hannan peroleh 11A+, ulang kaji jam 3 pagi hingga 6.30 pagi

Nik Nurul Hannan peroleh 11A+, ulang kaji jam 3 pagi hingga 6.30 pagi

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Nik Nurul Hannan Nik Mohd Akbari yang memperoleh 11A+ bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, memastikan dia mendapat rehat secukupnya sebelum mengulang kaji pelajaran pada jam 3 pagi.

Calon daripada Sekolah Menengah Agama (SMA) Shaikh Abdul Malek itu, yang juga anak kedua daripada tujuh beradik pasangan Nik Mohd Akbari Nik Abdul Ghani, 42, dan Maryam Jameelah Ishak, 42, antara 11 calon SPM di Terengganu yang memperoleh 11A+.

“Rutin harian saya ialah tidur selepas menunaikan solat Isyak dan bangun untuk mengulang kaji pelajaran bermula jam 3 pagi hingga jam 6.30 pagi.

“Saya juga tidak menduduki kelas tambahan sebaliknya menumpukan perhatian di dalam kelas,” katanya yang bercita-cita menjadi jurutera.

Nik Nurul Hannan dari Kampung Seberang Baruh, di sini, juga tidak tinggal di asrama sekolah, sebaliknya berulang-alik sejauh kira-kira 12 kilometer ke sekolah setiap hari dengan dihantar bapanya yang juga mudir madrasah persendirian.

“Saya juga menunaikan solat sunat tahajud setiap malam dan mengulang kaji pelajaran pada awal pagi tiga bulan sebelum menduduki peperiksaan SPM.

“Sepanjang perjalanan ke sekolah, saya juga sentiasa berselawat selain menunaikan solat hajat memohon keberkatan serta keredaan Allah SWT,” katanya yang berhasrat menyambung pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Nik Nurul Hannan yang bercita-cita menjadi jurutera berkata, rutin hariannya ialah tidur selepas menunaikan solat Isyak dan bangun untuk mengulang kaji pelajaran bermula jam 3 pagi hingga jam 6.30 pagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top