Rajin tanya guru, solat hajat, baca al-Quran rahsia pelajar 9A+

Rajin tanya guru, solat hajat, baca al-Quran rahsia pelajar 9A+

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Rajin bertanya guru, dirikan solat sunat hajat dan membaca al-Quran antara rahsia pelajar, Imran Suffyan Zamani memperoleh keputusan cemerlang 9A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumum hari ini.

Imran Suffyan, 18, dari Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) berkata, dia tidak menyangka akan memperoleh keputusan terbabit, apatah lagi mata pelajaran Biologi yang dianggapnya sebagai sukar.

Bagaimanapun, anak sulung daripada tiga beradik itu menjelaskan dia tidak boleh mudah berputus asa kerana mahu membanggakan ibu bapa serta guru dengan keputusan cemerlang.

“Saya berpegang bahawa kita kena belajar dengan penuh ikhlas dan jangan anggap ia sebagai satu beban.

“Sekiranya kita anggap belajar itu beban, memang automatik otak kita takkan mahu cuba sedaya upaya untuk dapatkan apa yang kita inginkan.

“Sebagai contoh di sekolah ini, saya letakkan harapan untuk dapatkan 9A+ untuk bantu dan banggakan ibu bapa saya serta cikgu-cikgu yang sudah banyak berjasa dalam mengajar,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di luar pekarangan SMSS, di sini, hari ini.

Berkongsi rahsia kejayaan, Imran Suffyan berkata, dia akan memanfaatkan waktu petang selepas tamat sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) untuk berjumpa guru dan bertanya sebarang topik yang kurang difahaminya serta teknik menjawab soalan peperiksaan dengan tepat.

“Selain itu, selepas prep (kelas ulang kaji) malam, saya akan pergi ke surau untuk solat hajat dan solat istikharah supaya memohon kepada Allah SWT agar dipermudahkanlah segala urusan.

“Jika tanyakan tips (panduan), saya akan pesan kepada pelajar Tingkatan Lima yang akan duduki SPM tahun ini supaya jangan tinggal al-Quran, bacalah al-Quran setiap hari,” katanya.

Imran Suffyan yang bercita-cita menjadi doktor berkata, dia merancang untuk menyambung pengajian asasi dalam bidang perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Jika ada peluang tawaran biasiswa, saya juga berhasrat menyambung pengajian lebih tinggi di luar negara,” katanya.

Selain Biologi, beliau turut memperoleh Gred A+ bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Kimia dan Fizik.

Sementara itu, bapa kepada Imran Suffyan iaitu Zamani Mat Zin, 51, yang bertugas sebagai juruteknik, mengakui bersyukur atas keputusan cemerlang diperoleh anak sulungnya itu.

Dia yang tinggal di Selayang berkata, kejayaan itu membuatkannya terharu, malah mengulangi rasa bangganya ketika Imran Suffyan memperoleh keputusan 9A pada Peperiksaan Percubaan SPM sebelum ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top