Trump akan hadiri pengebumian Paus Francis, rancang bertemu pemimpin dunia

Trump akan hadiri pengebumian Paus Francis, rancang bertemu pemimpin dunia

Istanbul: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memaklumkan bahawa beliau dijadual mengadakan beberapa pertemuan dengan pemimpin antarabangsa semasa lawatannya ke Vatican bagi menghadiri upacara pengebumian Paus Francis pada hujung minggu ini.

“Saya ada. Saya ada banyak mesyuarat dijadualkan. Saya tak pasti sama ada saya sempat melakukannya,” kata Trump kepada wartawan apabila ditanya mengenai kemungkinan pertemuan di luar acara pengebumian itu.

Upacara pengebumian yang dijadualkan pada Sabtu ini merupakan lawatan luar negara pertama Trump sejak beliau memegang jawatan pada Januari, lapor Anadolu Ajansi.

Beliau akan ditemani oleh Wanita Pertama, Melania Trump.

“Kami menantikan untuk berada di sana,” kata Trump awal minggu ini di platform Truth Social miliknya.

Beberapa pemimpin dunia dijangka hadir, termasuk Presiden Perancis Emmanuel Macron, Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen, Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier dan Canselor Olaf Scholz, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy, Presiden Argentina Javier Milei serta Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, menurut laporan media.

Paus Francis meninggal dunia pada Isnin pada usia 88 tahun akibat strok dan kegagalan jantung, menurut pakar perubatan Vatican, Andrea Arcangeli.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top