MEMBINA legasi dalam dunia deejay atau DJ lebih dua dekad, nama Hardwell tidak mungkin dilupakan sampai bila-bila oleh pencinta muziknya. Dia figura pelopor cukup ikonik.Justeru, ketika Hardwell atau nama sebenarnya Robbert van de Corput, 37, memutuskan cuti sabatikal pada 2018 hingga 2022, industri DJ sedunia seakan-akan kurang lengkap.Mana tidak, namanya satu kewajipan untuk menjadi teraju pelbagai festival muzik seluruh dunia. Nilai eksklusif dirinya terlalu tinggi sehingga tidak lepas tangan dan jadualnya terlalu ketat.Bagaimanapun, Hardwell mengakui keputusannya bercuti itu amat besar kesannya. Secara peribadi, kehidupannya semakin jauh lebih baik kini selepas tiga tahun kembali bekerja.”Saya menjalani gaya hidup yang sangat sihat dan hanya menjayakan 30 persembahan seluruh dunia setiap tahun. Saya kini ada masa untuk kehidupan peribadi dan kerja dalam studio.”Contohnya kalau malam ini saya beraksi di Kuala Lumpur, esok saya ke Bangkok untuk persembahan lain. Kemudian, saya akan kembali ke studio untuk sebulan, tidak terbang ke mana-mana, hanya bikin muzik,” katanya.Semestinya kegemilangan dikecap Hardwell sebelum ini amat disyukurinya. Bagaimanapun, dia menyedari seiring peredaran usia, semakin penting untuk tingkatkan kualiti hidup.Justeru, gaya sihat itu menjadi pedoman utamanya demi mencari keseronokan maksimum dalam kehidupan sehari-hari. Katanya, dia juga sudah kian kurang meminum alkohol.”Sekarang saya akan melakukan senaman kecergasan lima kali seminggu. Saya cuba berhenti minum alkohol setiap kali saya buat persembahan. Saya masih suka minum, tapi sudah tidak kerap,” katanya.Jika seluruh dunia menyanjung namanya sendiri saja, Hardwell berkata, kejayaan itu adalah hasil kerja keras keseluruhan pasukan produksinya. Dia enggan ambil kredit itu seorang saja.Hakikatnya, keterujaan atas pentas dan bagaimana tenaganya terpancar itu berpunca daripada bantuan ramai pihak di belakang tabir. Katanya, dia percaya aura positif pemangkin yang cukup utama.”Saya sentiasa ingin dikelilingi pasukan dan sesiapa yang mampu buatkan saya rasa lebih baik. Bukan seperti kebiasaan kamu lihat saya seorang atas pentas, sebenarnya kami terdiri daripada pasukan yang besar.”Bukan saya semata-mata, ramai orang bertanggungjawab untuk persembahan yang menakjubkan,” katanya.Dalam pada itu, Hardwell juga ada pendapat tersendiri terhadap penguasaan teknologi kecerdasan buatan atau AI dalam pembikinan muzik. Dia langsung tidak rasa tergugat.Sebaliknya, dia percaya AI sepatutnya dimanfaatkan ramai sekarang kerana teknologi itu wujud untuk mudahkan hidup. Katanya, tiada apa perlu ditakutkan atau rasa terancam.”Saya rasa AI akan terus bertapak kukuh dan hakikatnya ia hanya akan semakin berkembang serta jadi lebih baik. Saya sangat suka dengan apa yang AI boleh lakukan sekarang.”Bukan kami sebagai pemuzik saja, tapi mana-mana pekerjaan pun perlu manfaatkan AI. Ia sangat bagus, tapi jangan sekali-kali takut. Kalau takut dan tak terima, mungkin boleh bunuh kerjaya kita,” katanya.DJ yang digilai menerusi lagu hitnya termasuk Spaceman, Apollo dan Run Wild mengakui gunakan AI juga dalam proses berkaryanya. Namun, dia percaya AI masih takkan tandingi akal manusia.”Sememangnya ia sangat membantu saya dalam penulisan lirik atau mencari idea tertentu. Kalau membelek foto ataupun rekaan grafik, AI boleh buat semua. Malah boleh hasilkan sebuah majalah penuh pun.”Namun, untuk muzik, ia belum sampai ke tahap itu. Kalau saya gunanya untuk hasilkan kod lagu, biasanya ia menjana muzik yang sudah pernah wujud. Ia takkan bagi muzik yang belum pernah dihasilkan,” katanya.Terbaru melancarkan single Sanctuary, Hardwell cukup gembira dapat kembali ke Malaysia selepas lebih tujuh tahun. Dia ke sini menjayakan Festival Muzik Neon di KL Base, Bandar Malaysia, Kuala Lumpur.Ternyata kunjungannya itu benar-benar dinantikan ramai dan lebih 10,000 hadir memeriahkan acara itu. Hardwell cukup terharu masih digilai di Malaysia dan sentiasa sayang negara ini.”Malaysia adalah antara negara terawal tempat saya beraksi ketika saya baru mulakan siri jelajah dunia pada 2008. Saya adakan persembahan sulung untuk Malaysia di Zouk KL.”Saya sayang Malaysia dan sangat seronok dapat kembali ke sini. Ini adalah sebuah festival ini yang sangat mengagumkan dan saya berbesar hati dapat berada di sini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd