
Institusi pengajian terkemuka itu enggan tunduk dengan tuntutan mengarut Trump.
NEW YORK – Harvard yang merupakan universiti terkaya di dunia pada Isnin bertindak memfailkan saman ke atas pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Tuntutan undang-undang dikemukakan di Mahkamah Persekutuan di Massachusetts itu mendakwa pentadbiran Trump melancarkan ‘serangan meluas’ kerana mahu mengawal pembuat keputusan di Harvard.
Ia juga merujuk kepada universiti utama lain yang berdepan pemotongan dana secara mendadak.
“Pemerintah cuba menggunakan kuasa secara berlebih-lebihan dan tidak pernah berlaku sebelum ini. Tindakan melulu itu akan memberi kesan jangka panjang dan impak besar,” tegas Presiden Universiti Harvard, Profesor Alan M Garber.
Menurutnya, pemerintah juga mahu mengawal siapa pengajar dan apa yang mereka ajarkan kepada penuntut.
Saman itu menamakan beberapa nama defendan termasuk Setiausaha Kesihatan, Robert F Kennedy Jr; Setiausaha Pendidikan, Linda M McMahon dan Peguam Negara, Pam Bondi.
Tindakan tegas itu dibuat sebagai membantah ugutan Trump mahu memotong dana berjumlah berbilion dolar yang diperuntukkan untuk pusat penyelidikan institusi terkemuka tersebut.
Sebelum ini, pentadbiran Trump memberi alasan mahu melancarkan kempen memerangi anti-Yahudi, namun ia kemudiannya menyasarkan program dan pengajaran berkaitan kepelbagaian kaum serta ideologi jantina.
Ia turut menghantar ‘senarai tuntutan mengarut’ termasuk pengauditan profesor berhubung isu plagiarisme, melaporkan kepada kerajaan persekutuan tentang penuntut antarabangsa yang terlibat salah laku dan melantik penyelia pihak luar bagi memastikan jabatan akademik mempunyai ‘pelbagai sudut pandang’ untuk bahan pengajaran. – Agensi