Ringgit terus mengukuh sesi awal, peniaga sasar sokongan RM4.36

Ringgit terus mengukuh sesi awal, peniaga sasar sokongan RM4.36
Pada jam 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.3550/3840 berbanding dolar AS daripada penutupan Isnin pada 4.3670/3735. - Gambar hiasan

Pada jam 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.3550/3840 berbanding dolar AS daripada penutupan Isnin pada 4.3670/3735. – Gambar hiasan

RINGGIT meneruskan peningkatannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam urus niaga awal hari ini ketika unit tempatan itu dijangkakan cuba melepasi paras sokongan segera pada 4.36.

Pada jam 8 pagi, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.3550/3840 berbanding dolar AS daripada penutupan Isnin pada 4.3670/3735.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kegelisahan pasaran kewangan kian ketara selepas Presiden AS Donald Trump mengambil langkah memperlekeh kebebasan Rizab Persekutuan (Fed) AS mengendalikanan dasar monetari.

“Pasaran ekuiti AS menjunam kembali selepas Presiden AS itu meneruskan serangannya ke atas Pengerusi Fed bahawa inflasi tidak berlaku dan Kadar Dana Fed sepatutnya diturunkan.

Hasil nota Perbendaharaan 10 tahun AS meningkat kira-kira sembilan mata asas kepada 4.41 peratus manakala nota dua tahun pula menyumbang hasil lebih rendah sebanyak tiga mata asas kepada 3.76 peratus,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, Indeks Dolar AS (DXY) turun hampir satu peratus kepada 98.278 mata.

“Biarpun ada pandangan bahawa Rizab Persekutuan AS sering lewat (dalam mengambil tindakan), tidak sepatutnya wujud sebarang percubaan untuk menjejaskan pertimbangan kebebasan mereka.

“(Campur tangan) ini adalah sesuatu yang luar biasa dan hanya memburukkan lagi prospek suram akibat langkah-langkah tarif,” tambahnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama dunia.

Ini termasuk meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0913/1121 daripada 3.1046/1095, naik berbanding euro kepada 5.0139/0473 berbanding 5.0408/0483 semalam dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.8266 /8daripada 5.8513/8601.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Berbanding dolar Singapura, ringgit mengukuh kepada 3.3372/3599 daripada 3.3515/3570 pada penutupan semalam, meningkat berbanding peso Filipina pada 7.69/7.74 daripada 7.71/7.73 dan naik meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.1187/2184 daripada 13.1914/2170.

Ringgit bagaimanapun hampir mendatar berbanding rupiah Indonesia pada 259.1/260.9 daripada 259.8/260.3 sebelum ini.

Scroll to Top