SHAH ALAM — Usaha memperkukuh pengurusan sisa plastik di Selangor menerima suntikan baharu apabila KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Nestlé Malaysia menandatangani perjanjian kerjasama (MoU) bagi melancarkan Program SELKitar.
Usaha ini merupakan fasa terbaharu inisiatif Kutipan dan Kitar Semula Pintu ke Pintu di bawah Projek SAVE iaitu program Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan (EPR) sukarela terbesar di Malaysia.
Kolaborasi strategik ini disifatkan sebagai langkah penting dalam usaha Selangor untuk memperkukuh ekonomi kitaran dan mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan sisa.
Pengarah Urusan KDEBWM, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, program SELKitar bukan sekadar pelan pengurusan sisa kerana ia satu anjakan strategik daripada pelupusan kepada pemulihan, pendidikan dan penyertaan komuniti.
“Kami amat berbangga untuk bekerjasama dengan organisasi progresif seperti Nestlé Malaysia yang komited terhadap inovasi pembungkusan dan kelestarian global,” ujarnya.
Majlis tersebut dirasmikan Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri, Jamaliah Jamaluddin dan disaksikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Pusat Konvensyen Shah Alam di Seksyen 14 di sini pada Selasa.
Menurut Ramli, kerjasama ini membuktikan bahawa pendekatan industri secara sukarela boleh melengkapi dasar kerajaan dalam mewujudkan kesan yang nyata terhadap alam sekitar.
“Inisiatif ini memberi inspirasi kepada model kerjasama masa depan dan kami yakin ia mampu mencetus perubahan besar di seluruh Malaysia, ” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols berkata, program SELKitar adalah bukti komitmen pihaknya terhadap neutraliti plastik menjelang 2025 dalam memastikan tiada sisa pembungkusan Nestlé berakhir di tapak pelupusan atau lautan.
Beliau juga menekankan bahawa pendekatan kutipan pintu ke pintu yang disesuaikan untuk komuniti berpagar dan terbuka, serta penggunaan bahan Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) akan meningkatkan kadar penyertaan dan kesedaran komuniti terhadap pengasingan sisa.
Kerjasama ini juga melibatkan rakan strategik lain seperti Alam Flora Environmental Solutions Sdn Bhd serta KPT Recycle Sdn Bhd dan ESH Resource Management Sdn Bhd, menyokong cita-cita Selangor untuk menjadi peneraju utama dalam kelestarian alam sekitar di Malaysia.
Dengan pelaksanaan Program SELKitar, Selangor sekali lagi mempamerkan kepimpinan dalam agenda hijau negara dalam mendekatkan visi untuk menjadikan Malaysia bebas sisa plastik satu kenyataan.
Projek SAVE yang dimulakan sejak 2020 oleh Nestlé Malaysia bersama pelbagai pihak berkuasa tempatan kini berjaya menjangkau lebih 200,000 isi rumah dan menghalang lebih 33,000 tan sisa termasuk 20,000 tan plastik daripada dihantar ke tapak pelupusan atau mencemari lautan.
Program SELKitar kini diperluas ke 17,000 kediaman bertanah di bawah Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Sepang mulai Mei 2025 dengan perancangan untuk merangkumi kediaman bertingkat dan perkampungan luar bandar dalam fasa seterusnya.