PRODUK koko negara mencatat permintaan tinggi di pasaran antarabangsa berikutan kualiti pengeluarannya yang baik, dengan nilai eksport mencecah RM15.06 bilion pada tahun 2024, iaitu tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM), Datuk Ramle Kasin berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak RM6.86 bilion atau 83.66 peratus berbanding RM8.20 bilion yang dicatatkan pada tahun 2023.
“Peningkatan ketara ini didorong oleh permintaan luar negara serta lonjakan harga pasaran koko dengan pengimport utama yang menyumbang ialah Singapura, Amerika Syarikat, Jepun dan beberapa negara Asia lain.
βLebih daripada 68 peratus hasil eksport berjaya dicapai. Harga koko juga meningkat ketara daripada RM8,000 setan pada 2023 kepada antara RM20,000 hingga RM35,000 satu tan tahun ini,β katanya kepada pemberita selepas menghadiri Malam Penghargaan Media dan Rakan Kerjasama LKM di sini, Isnin.
Beliau berkata, faktor yang menyumbang kepada peningkatan hasil eksport koko itu termasuk kualiti pengeluaran, penggunaan teknologi pemprosesan moden, pembungkusan yang baik, strategi pemasaran berkesan serta tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Matbali (tiga dari kiri) diiringi Ramle (kiri) ketika menyampaikan anugerah kepada pengamal media Sabah berikutan laporan akhbar melibatkan LKM pada Malam Penghargaan Media dan Rakan Kerjasama LKM di Kota Kinabalu.
“Malaysia juga memiliki bahan tanaman bermutu yang meningkatkan daya saing dengan negara pengeluar lain, di mana Sabah antara penyumbang utama pengeluaran koko negara dengan lebih 60 peratus daripada jumlah keseluruhan.
“Kita ada kira-kira 3,000 petani koko di Sabah yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam tanaman ini, terutama di Ranau, Tenom, Kota Marudu, Keningau dan Kuamut dengan keluasan keseluruhan 3,000 hektar,” katanya.
Ramle berkata, walaupun harga pasaran koko sentiasa berubah, ia kekal pada tahap memberangsangkan iaitu sekitar RM20 sekilogram ketika ini.
Namun begitu, industri berdepan cabaran cuaca tidak menentu yang boleh menjejaskan hasil tanaman.
“Sebagai langkah mitigasi, kita telah hasilkan pelbagai penyelidikan dan pembangunan (R&D) termasuk penggunaan baja yang sesuai serta teknologi Sistem Fertigasi Internet of Things (IoT) bagi mengurangkan kebergantungan kepada buruh,β katanya.
Sementara itu, Pengerusi LKM, Datuk Matbali Musah berkata, Festival Koko Antarabangsa Malaysia (MICF) yang akan diadakan di Sabah pada Mei depan dijangka menarik penyertaan dari Eropah, Jepun serta negara Asia lain.
“Penganjuran MICF tahun ini mendapat sokongan Kementerian Perladangan dan Komoditi serta kerajaan negeri Sabah yang turut membiayai sebahagian program,” katanya.
Beliau berharap program itu akan berjalan lancar dan menjadi platform mempromosikan koko Malaysia di peringkat antarabangsa.