Ringgit melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh hampir enam bulan

Ringgit melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh hampir enam bulan
Ringgit melonjak ke paras tertingginya dalam tempoh hampir enam bulan berbanding dolar AS pada sesi penutup hari ini mencecah paras 4.36 di tengah-tengah kebimbangan terhadap tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS). Gambar hiasan

Ringgit melonjak ke paras tertingginya dalam tempoh hampir enam bulan berbanding dolar AS pada sesi penutup hari ini mencecah paras 4.36 di tengah-tengah kebimbangan terhadap tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS). Gambar hiasan

RINGGIT melonjak ke paras tertingginya dalam tempoh hampir enam bulan berbanding dolar AS pada sesi penutup hari ini mencecah paras 4.36 di tengah-tengah kebimbangan terhadap tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS).

Pada jam 6 petang, ringgit melonjak kepada 4.3670/3735 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.4100/4175 sebelumnya.

Sebelum ini pada 28 Oktober 2024, ringgit mencecah paras tertinggi pada 4.3605/3640 berbanding dolar AS.

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS di tengah-tengah ketidaktentuan yang memuncak berhubung isu tarif.

“Nampaknya penggubalan dasar AS yang tidak konsisten serta tindakan yang mencetuskan kemarahan sekutunya telah menyebabkan sentimen lemah dalam pasaran aset AS.

“Dalam erti kata lain, keadaan sukar dan tidak menentu sekarang telah menyebabkan ramai yang mula mengurangkan pergantungan terhadap dolar, seperti yang dilihat menerusi penurunan pegangan asing dalam bon Perbendaharaan AS dan hasil Perbendaharaan AS yang rendah,” katanya kepada Bernama.

Justeru, ringgit dijangka terus mengukuh dalam tempoh terdekat ini dengan paras sokongan segera ketika ini berada pada RM4.36, katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 3.1046/1095 daripada 3.0971/1028 pada Jumaat minggu lepas, turun berbanding euro kepada 5.0408/0483 daripada 5.0133/0218 tetapi naik sedikit berbanding pound Britain kepada 5.8513/8601 daripada 5.8516/8616.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3515/3570 daripada 3.3562/3601 pada Jumaat minggu lepas, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 2259.8/260.3 daripada 261.2/261.8, mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.71/7.73 daripada 7.77/7.79 tetapi susut berbanding baht Thailand kepada 13.1914/2170 daripada 13.1815/2154. – Bernama

Scroll to Top