syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, pengarah dan penerbit, Erma Fatima pernah dilempar skrip oleh seniornya, Fauziah Ahmad Daud ketika di awal kemunculannya dalam dunia lakonan.
Menerusi wawancara dalam audiosiar bersama platform digital Siar, Erma berkongsi pengalaman yang mendidik dirinya menjadi anak seni kental seperti hari ini.
“Ketika berlakon dalam filem Puteri, saya pernah dilempar skrip oleh Kak Ogy (Fauziah). Dilempar betul-betul di hadapan saya sambil berkata, ‘Hafal dialog kau. Lepas tu baru panggil aku’.
“Dia terus keluar dari set penggambaran dan enggan kembali selagi saya belum bersedia. Waktu itu, saya baru pertama kali berlakon dengannya. Terketar-ketar saya pegang skrip tu.
“Kalau tak bersedia, kita bukan sahaja menyusahkan diri sendiri, tapi juga menyusahkan orang lain di set, terutama mereka yang dah hafal skrip dan datang dengan persediaan rapi.
“Saya terus duduk di situ, tak berganjak langsung. Hafal skrip sungguh-sungguh sampai betul-betul dapat,” katanya.
Menurut Erma, insiden itu tidak pernah melukakan hatinya, sebaliknya dijadikan satu ilmu dan pengalaman kerana dapat bergandingan dengan pelakon yang diidolakannya.
“Saya langsung tak ambil hati dengan tindakan Kak Ogy itu. Dia adalah idola saya sejak zaman sekolah. Saya membesar dengan filem-filem lakonannya.
“Bila dia bertindak sebegitu, itu sebenarnya satu cabaran untuk saya. Maksudnya, dia cabar, ‘Kalau kau nak berdiri sebelah aku, kau kena jadi lebih baik’, itu adalah cabaran untuk saya.
“Saya dipilih oleh Uncle Rahim Razali (pengarah filem Puteri) sendiri. Tapi apabila digandingkan dengan pelakon hebat yang pernah menang pelbagai anugerah, sudah tentu saya mahu buktikan bahawa saya juga mampu,” katanya.
Tegas Erma, tindakan Fauziah itu bukanlah kerana sikap ‘diva’, sebaliknya sesuatu yang wajar kerana komitmen penuh yang diberikannya sebagai pelakon.
“Dia bukan baling skrip sebab dia ‘diva’. Tapi dia tahu hak dia. Bila seseorang datang ke set tanpa persediaan, tentu dia kecewa.
“Dia bukan marah sebab ego, tapi sebab tanggungjawab. ‘Aku datang, aku siap. Kenapa kau tak siap? Kenapa kau tak hafal dialog kau?’. Jadi, ya, dia ada hak untuk berasa marah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd