JDT kaut RM2.4 juta, Selangor dapat RM1.9 juta

JDT kaut RM2.4 juta, Selangor dapat RM1.9 juta

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perlawanan Liga Super musim 2024/2025 akhirnya melabuh tirai secara rasminya dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mendominasi saingan terbabit dengan bergelar juara kali ke-11 berturut-turut selepas mengutip 70 mata.

Seperti yang sedia maklum, Selangor FC pula berada di kedudukan kedua dengan 52 mata manakala Sabah di tempat ketiga selepas mengutip 40, di tempat keempat pula adalah Kuching City FC (39 mata).

Berdasarkan kepada situasi semasa, skuad Harimau Selatan boleh dikatakan paling untung apabila melayakkan mereka untuk membawa pulang hadiah keseluruhan RM2.4 juta.

Selangor FC yang dinobatkan sebagai naib juara pula memperoleh RM1.9 juta manakala Sabah (RM1.5 juta) dan Kuching City FC (RM1.2 juta).

Wang kemenangan itu adalah termasuk RM500,000 jumlah pendapatan yang diagihkan kepada semua pasukan Liga Super yang bertanding pada musim ini.

Bagi pasukan terbawah Liga Super pula, mereka akan menerima maksima RM600 ribu sahaja selepas wang merit yang diperuntukkan adalah RM100 ribu sahaja.

Selain itu, hanya dua pasukan daripada Piala MFL akan menerima wang agihan pendapatan ini RM500,000 untuk juara manakala di tempat kedua adalah RM250,000.

Sementara itu, JDT yang dinobatkan sebagai juara Liga Super musim ini terus menjadi wakil tunggal negara untuk beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Bagi pasukan yang beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2), setakat ini hanya Selangor FC saja mengesahkan slot ke saingan terbabit kerana mengakhiri perjuangan Liga Super di tempat kedua.

Hal ini kerana, berdasarkan peraturan yang ditetapkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bahawa, jika pasukan sama menjadi juara liga dan juara pertandingan, sekali gus kelab yang dinobatkan sebagai naib johan Liga Super akan mengambil slot kedua itu.

Saingan Piala Shopee pula akan ditentukan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) memandangkan pemilihan pasukan kebiasaannya dibuat berdasarkan kepada status sebagai finalis Piala Malaysia dan Piala FA.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top