hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengedar dadah yang aktif mengedar barang terlarang itu di sebuah pusat hiburan di Kepong Baru, di sini, berjaya ditahan polis dalam serbuan pada 18 April lalu.
Serbuan itu turut membawa kepada penahanan dua lelaki dan empat wanita warga asing di premis sama.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, lelaki tempatan berusia 49 tahun itu yang aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah di pusat hiburan berkenaan ditahan pada 1.10 pagi.
Katanya, penahanan itu membawa kepada rampasan beberapa jenis dadah dalam almari kayu berkunci di premis itu yang dipercayai bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
“Suspek menyorok bekalan dadah di tempat tersembunyi supaya tidak dikesan pihak berkuasa dan suspek dipercayai mula aktif mengedar dadah sejak sebulan lalu.
“Rampasan membabitkan serbuk MDMA (3.5 kilogram (kg)), rokok ganja (123 gram atau 112 batang), pil Erimin 5 (20 gm), ketamin (12 gm) dan pil ekstasi (11 gm),” katanya pada sidang media hari ini.
Menurutnya, pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan dan tiga wanita warga Thailand serta seorang wanita warga Vietnam berusia antara 26 hingga 44 tahun di sebuah bilik di premis sama.
“Pemeriksaan dalam bilik berkenaan menemui sebuah beg kertas berisi dadah dipercayai serbuk MDMA seberat 350 gm,” katanya.
Rusdi berkata, keseluruhan nilai rampasan dadah dalam operasi berkenaan dianggarkan RM40,000 dan pihaknya turut melakukan pelucuthakan harta membabitkan wang tunai RM15,894 dan barang kemas bernilai RM32,800.
“Lima daripada enam suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin, manakala seorang wanita warga Vietnam negatif hasil ujian saringan awal air kencing.
“Semakan turut mendapati seorang suspek lelaki tempatan mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.
Katanya, semua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd