Resipi ideal Boustead Hotels & Resorts

Resipi ideal Boustead Hotels & Resorts

MELANGKAH ke tahun 2025, Boustead Hotels & Resorts Sdn Bhd, satu jenama tidak asing dalam kalangan pemain sektor perhotelan dan pelancongan beraspirasi menampilkan identiti dan hospitaliti Malaysia dalam kelas tersendiri.

Anak syarikat konglomerat Boustead Holdings Berhad yang mengendalikan rangkaian Hotel Royale Chulan di seluruh Malaysia dan di Hyde Park, London itu komited menerapkan hospitaliti Malaysia yang tulen dalam segenap aspek layanan dan perkhidmatan.

Rosthman

Rosthman

Buktinya, Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Hotels & Resorts, Datuk Rosthman Ibrahim, telah merencana pelbagai inisiatif bagi mempopularkan ciri istimewa Malaysia menerusi rangkaian hotel Royale Chulan bukan sahaja dalam negara malah di mata dunia.

Menerusi wawancara eksklusif bersama Sinar Harian, Rosthman berkata, gabungan keunikan dan keaslian budaya Malaysia serta inovasi dalam perkhidmatan adalah resipi ideal yang mampu menciptakan pengalaman paling bermakna terutama untuk pelancong luar yang datang ke negara ini.

Untuk tujuan itu, rangkaian hotel Royale Chulan di bawah kendalian Boustead Hotels & Resorts memperkenalkan inisiatif baharu untuk pelancongan dikenali sebagai Malaysian Hospitality Culture yang sekali gus bakal diangkat menjadi game changer dalam industri perhotelan.

Rosthman (duduk) bersama warga kerja Hotel Royale Chulan.

Rosthman (duduk) bersama warga kerja Hotel Royale Chulan.

Inisiatif diterajui Royale Chulan itu bertujuan mengenal pasti elemen utama seperti kebudayaan, adat, pengalaman gastronomi dan banyak lagi untuk diketengahkan kepada pelancong sebagai identiti Malaysia.

Namun menurut Rosthman, terdapat cabaran di mana bagi sebuah negara majmuk seperti Malaysia, bukan mudah memilih identiti tunggal bagi mewakili negara kerana dilimpahi terlalu banyak budaya berbeza dari Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun untuk pihaknya, apa yang penting adalah inisiatif Malaysian Hospitality Culture bertujuan memberi peluang kepada pelancong terutama dari luar negara untuk merasai sendiri kemesraan dan keramahan budaya dan hospitaliti Malaysia bermula dari saat turun pesawat hingga ke hotel penginapan sekali gus sepanjang berada di negara ini.

Justeru, setiap warga kerja Hotel Royale Chulan di bawah kendalian Boustead Hotels & Resort wajib mengamalkan 5 Salam seperti ā€˜Selamat Datang’, Selamat Pagi/Petang/Malam’, ā€˜Terima Kasih’, ā€˜Sama-sama’ dan ā€˜Jumpa Lagi’ bagi mempromosi budaya dan bahasa Malaysia kepada pelancong.

Berbicara soal komitmen, Rosthman memaklumkan rangkaian Hotel Royale Chulan turut dalam perancangan mengenal pasti beberapa inisiatif dalam sektor kelestarian alam sekitar, sosial serta tadbir urus (ESG) demi menaik taraf perkhidmatan kepada pelanggan.

Jelas beliau, pihaknya telah melantik kontraktor untuk memasang pengecas kenderaan elektrik (EV Charger) di setiap hotel dengan pemasangan pertama bermula Mac tahun ini.

Pada masa sama, rangkaian Hotel Royale Chulan juga dalam proses membekalkan air bertapis terus dari bilik.

Ini bermakna tiada lagi penggunaan botol plastik minuman dalam bilik hotel dan perubahan tersebut dijangka dapat dilihat pada separuh kedua tahun ini.

Namun, dalam keterujaan merangka pelbagai strategi untuk memberi penampilan baharu dan segar terhadap rangkaian Hotel Royale Chulan, Rosthman mengakui, cabaran utama perlu dihadapi terutama pasca pandemik Covid-19 adalah mengekalkan daya saing dalam industri.

Menurut beliau, demi memastikan rangkaian Hotel Royale Chulan mampu bersaing dengan hotel-hotel baharu yang muncul umpama cendawan selepas hujan, pihaknya merancang untuk menambah baik semua inventori sedia ada dengan mengambil kira pelbagai aspek.

Jelas Rosthman, setiap penambahbaikan wajib mempunyai sentuhan Malaysia, misalnya dalam aspek seni bina, ia harus menampilkan ciri seni bina milik Malaysia, namun paling penting adalah untuk mencari identiti khas yang menjurus kepada Malaysian Hospitality Culture itu sendiri.

Rosthman turut berkongsi, pihaknya dalam proses membuat perubahan kosmetik di Royale Chulan Hyde Park, London dengan menerapkan beberapa elemen bercirikan Malaysia dan selain mengetengahkan konsep Malaysian Hospitality Culture bagi memperkenalkan keunikan budaya negara.

Bagaimanapun Rosthman berpendapat, usaha penambahbaikan semata-mata tidak mencukupi sebaliknya untuk terus berdaya saing dan berkembang pesat sektor perhotelan memerlukan satu ekosistem yang lengkap.

Ini bermakna, sektor perhotelan bukan sahaja bergantung kepada faktor seperti penginapan dan makanan tetapi juga tempat-tempat menarik yang boleh dilawati oleh pelancong.

Tidak dinafikan Malaysia menawarkan banyak lokasi tarikan pelancong, pilih sahaja sama ada mahu ke pusat beli-belah mewah yang menawarkan pengalaman berbelanja atau mengunjungi pusat percutian di tanah tinggi sejuk seperti Genting Highlands dan Cameron Highlands.

Semuanya ada di Malaysia, namun satu bonus sekiranya destinasi tarikan pelancong ini terutama lokasi seperti pantai percutian dapat ditambah baik daripada segi kemudahan dan akses supaya dapat menarik kedatangan lebih ramai pelancong sekali gus melonjak sektor perhotelan domestik.

Sementara itu, selain mengharapkan perkembangan positif dalam lanskap perhotelan domestik, Rosthman turut menyimpan hasrat menjadikan Boustead Hotels & Resorts syarikat rangkaian hotel bertaraf antarabangsa dengan jumlah bilik hotel terbesar di Malaysia.

Katanya, di bawah jenama Boustead Hotels & Resorts kelak akan terdapat beberapa rangkaian hotel terdiri daripada hotel mewah, resort, bajet dan lain-lain, walaupun masih dalam perancangan namun beliau yakin ia akan dapat direalisasikan dalam masa terdekat.

Tidak terhenti di situ, beliau turut memaklumkan pihaknya merancang menambah bilangan hotel, bukan sahaja yang dimiliki Boustead Hotels & Resorts sendiri tetapi juga hotel yang dimiliki pihak ketiga.

Untuk rekod, setakat ini rangkaian Hotel Royale Chulan mempunyai lebih dari 1,600 bilik hotel namun dalam perancangan terdekat ia berhasrat menambah bilangan kepada 4,500 hingga 5,000 bilik.

Malah Rosthman menjangkakan untuk tahun 2026, ia boleh mencapai sehingga 10,000 bilik di bawah Boustead Hotels & Resorts dalam dan luar negara.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan, pihaknya telah menyertai tender dan berbincang lanjut dengan beberapa pemilik hotel untuk tujuan menjadi pemilik hotel dan mengambil alih pengurusannya.

Rosthman

Rosthman

Jelasnya, sama ada menjenamakan semula atau menggunakan nama sedia ada tetapi diuruskan oleh Boustead Hotels & Resorts, mekanisme pengurusan harus menggunakan standard Royale Chulan.

Lebih penting lagi, pengurusan hotel harus memiliki DNA Royale Chulan yang menekankan konsep Malaysian Hospitality Culture, di mana perlu ada kakitangan terlatih untuk menghayati dan seterusnya menerapkan konsep tersebut di semua hotel di bawah jenama Royale Chulan.

Akhir bicara, berpegang kepada tiga kata melambangkan jenama Boustead Hotels & Resorts iaitu Malaysian Hospitality Culture, boleh dipercayai dan mesra, Rosthman melihat prospek masa depan yang cerah untuk syarikat terus melebarkan sayap dan mencapai lebih banyak kejayaan.

Tidak ketinggalan, beliau menitipkan pesan kepada golongan muda yang berhasrat menceburkan diri dalam sektor perhotelan harus mempunyai jati diri sebagai anak Malaysia.

Nasihat beliau, pastikan mempunyai jati diri sebagai anak Malaysia yang tinggi kesopanan dan kesusilaan selain berhati kental dan memiliki tahap kesabaran tinggi bagi menghadapi pelbagai karenah dan cabaran dalam industri.

RANGKAIAN HOTEL ROYALE CHULAN

Royale Chulan Hotels & Resorts dimiliki sepenuhnya oleh Boustead Hotels & Resorts Sdn Bhd – anak syarikat kepada konglomerat tersenarai awam, Boustead Holdings Berhad. Dengan lapan buah hotel yang beroperasi di seluruh Malaysia dan juga di London, ia komited untuk menyediakan pengalaman hospitaliti bertaraf dunia dengan sentuhan keikhlasan Malaysia.

Royale Chulan Kuala Lumpur

Royale Chulan Seremban

Royale Chulan Seremban

Menggabungkan seni bina tradisional Melayu dalam suasana moden, hotel ini terletak di tengah-tengah pusat perniagaan Kuala Lumpur. Berdekatan dengan Pavilion KL, Kompleks Kraf Malaysia dan Menara Berkembar Petronas, ia menjadi pilihan utama pelancong dan ahli perniagaan.

Royale Chulan Damansara

Royale Chulan Damansara

Royale Chulan Damansara

Direka untuk keselesaan pengunjung dari semua lapisan, hotel ini menawarkan kemudahan perniagaan dan hiburan, serta akses terus ke The Curve, IKEA dan IPC Shopping Centre. Lokasinya yang strategik bersebelahan Stesen MRT Mutiara Damansara menjadikan perjalanan ke Bukit Bintang hanya dalam 15 minit.

Royale Chulan The Curve

Royale Chulan The Curve

Royale Chulan The Curve

Nikmati keselesaan berada di pusat gaya hidup utama. Hotel ini menyediakan kemudahan mesyuarat dan acara, serta akses mudah ke KidZania Kuala Lumpur dan pusat beli-belah The Curve – pusat beli-belah pejalan kaki pertama di Malaysia.

Royale Chulan Seremban

Royale Chulan Kuala Lumpur

Royale Chulan Kuala Lumpur

Terletak di kawasan indah Taman Tasik Seremban, hotel ini memancarkan kehangatan budaya dan hospitaliti mesra. Ia dilengkapi dengan fasiliti untuk persidangan dan aktiviti bina pasukan, sesuai untuk percutian atau acara korporat.

Royale Chulan Pulau Pinang

Royale Chulan Penang

Royale Chulan Penang

Berlokasi di zon teras Tapak Warisan Dunia UNESCO, hotel ini menampilkan seni bina kolonial klasik dengan kemudahan moden. Terletak di Weld Quay, ia merupakan destinasi ideal bagi mereka yang menghargai warisan dan keselesaan kontemporari.

Royale Chulan Cherating Villas

Royale Chulan Cherating Villas di Pahang.

Royale Chulan Cherating Villas di Pahang.

Dikelilingi kehijauan tropika dan menghadap Laut China Selatan, resort eksklusif ini menawarkan penginapan mewah dalam bentuk Vila dan Premier Suites. Nikmati kemudahan kolam infiniti, restoran, sukan air dan bilik mesyuarat yang lengkap.

Royale Chulan Cherating Chalets

Royale Chulan Cherating Chalets

Royale Chulan Cherating Chalets

Sesuai untuk percutian keluarga, resort ini terletak berhampiran tarikan pelancongan seperti Pusat Penyu Cherating, lawatan kelip-kelip dan pelayaran hutan bakau. Bengkel batik serta makanan tempatan seperti keropok lekor dan ikan masin juga boleh didapati hanya lima minit dari lokasi.

Royale Chulan Hyde Park, London

Royale Chulan Hyde Park

Royale Chulan Hyde Park

Terletak di kawasan eksklusif berhampiran Hyde Park dan Queensway, hotel gaya Victoria ini menawarkan bilik moden dengan akses mudah ke lokasi beli-belah, tempat makan dan pengangkutan awam utama di London.

Scroll to Top