KUALA TERENGGANU: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperhebat aspek promosi untuk Tasik Kenyir sebagai lokasi menarik untuk Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, ia adalah antara inisiatif kementerian untuk meningkatkan semula jumlah kedatangan pelancong di Tasik Kenyir yang semakin merosot sejak akhir-akhir ini.
“Kita menyedari jumlah pengunjung berkurangan sejak berlakunya pandemik Covid-19 tetapi saya dimaklumkan oleh Pengurus Besar Ketengah (Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah) sudah ada peningkatan jumlah pelancong sejak kebelakangan ini.
“Ketengah juga berkolaborasi dengan pelbagai pihak termasuk MATTA Fair (Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia) untuk memastikan Tasik Kenyir turut tersenarai dalam lokasi yang wajib dikunjungi dalam TMM 2026.
“Untuk tujuan itu, kita juga dah buat perbincangan berkenaan hal-hal yang berkaitan dengan kerajaan negeri Terengganu,” katanya elepas Hari Bertemu Pelanggan dan Majlis Sambutan Aidilfitri di Kampung Serada Baru di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris mendedahkan jumlah kedatangan pengunjung ke Tasik Kenyir semakin berkurangan disebabkan beberapa faktor utama. – UTUSAN