Pemilihan PKR: Anwar seloroh nyanyi 'Tunggu sekejap, jangan dikenang orang jauh…'

Pemilihan PKR: Anwar seloroh nyanyi 'Tunggu sekejap, jangan dikenang orang jauh…'

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim secara berseloroh menyanyikan bait lagu ‘Tunggu Sekejap’ dendangan seniman Allahyarham Tan Sri P Ramlee berhubung keputusan pemilihan PKR baru-baru ini.

Sebaik ditanya mengenai beberapa nama ‘besar’ yang tewas pada pemilihan peringkat cabang parti berkenaan, Perdana Menteri sekali lagi mengungkapkan bait lagu berkenaan.

“Tunggu sekejap, jangan dikenang orang jauh, tunggu sekejap…,” nyanyinya sebelum mengulang sekali lagi rangkap berkenaan.

Perdana Menteri mempamerkan reaksi sedemikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi di sini, hari ini.

Difahamkan, reaksi Anwar yang juga Presiden PKR itu dilihat cuba meredakan ketegangan yang berlaku pada pemilihan parti berkenaan.

Sebelum ini, dilaporkan beberapa nama besar dalam PKR dilaporkan tewas dalam pemilihan cabang parti itu yang berlangsung baru-baru ini.

Antara nama besar yang tewas termasuk Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim.

Keadaan itu menyebabkan calon yang tewas membuat aduan dan mempertikaikan sistem undian yang dilaksanakan dan mendakwa ada tangan ghaib yang campur tangan dalam proses pengundian.

Turut tular sebuah video di media sosial yang mendakwa terdapat calon mengamalkan politik wang dalam pemilihan.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menafikan dakwaan wujud ‘tangan ghaib’ yang cuba mempengaruhi proses pemilihan peringkat cabang itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top