2 beradik maut dirempuh MPV di lampu isyarat

2 beradik maut dirempuh MPV di lampu isyarat

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Dua beradik maut selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di lampu isyarat Simpang Empat Felda Ulu Tebrau, malam tadi.

Nuraisyah Amalin Zaibur, 20, dan adiknya, Ammar Saifullah, 15, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian jam 9.50 malam itu membabitkan motosikal Honda ditunggang Ammar Saifullah dan dibonceng kakaknya dalam perjalanan dari arah Jalan Ledang menghala ke Felda Ulu Tebrau.

Katanya, ketika kejadian penunggang motosikal dipercayai membelok ke kanan dan mengabaikan lampu isyarat merah.

“Dalam masa yang sama, sebuah MPV Toyota Estima dipandu lelaki tempatan berumur 40 tahun datang dari arah bertentangan dan sedang bergerak terus kerana lampu isyarat hijau.

“Pemandu tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian kanan motosikal berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohd Sohaimi, akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa tercampak ke laluan bertentangan dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top