Na’im tegur Abdul Hadi, jangan gopoh keluarkan hukum

Na’im tegur Abdul Hadi, jangan gopoh keluarkan hukum

PETALING JAYA: Semua pihak diingatkan agar tidak terburu-buru mengeluarkan pandangan berkaitan hukum agama terutama melibatkan isu sensitif seperti kedudukan ibadah haji semasa musim pilihan raya berbanding kewajipan mengundi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, hukum agama adalah perkara yang perlu dibincangkan dengan teliti berlandaskan kefahaman menyeluruh serta disiplin ilmu yang tinggi.

“Sehubungan itu, saya ingin mengingatkan semua pihak agar tidak terburu-buru mengeluarkan pandangan hukum tanpa merujuk kepada pihak berautoriti seperti para mufti.

“Penting untuk kita menjaga ketertiban masyarakat dan tidak mencetuskan kekeliruan yang boleh mengganggu keharmonian, apatah lagi apabila melibatkan ibadah yang merupakan rukun Islam serta proses demokrasi penting bagi negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau dipercayai mengulas kenyataan dibuat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkenaan mengutamakan kemenangan politik, selain perlu menangguhkan hasrat menunaikan umrah dan haji.

Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, ketetapan berkenaan dibuat dengan mengambil ibrah peristiwa Rasulullah dihalang melaksanakan umrah hingga termeterainya Perjanjian Hudaibiyah.

Abdul Hadi mendakwa, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan dan Islam perlu berkuasa, seiring firman Allah yang mahu dunia diperintah menerusi ajaran Islam.

Beliau mengakui, umat Islam ketika ini tidak mengamalkan pendekatan berkenaan, sebaliknya lebih memilih menunaikan umrah dan haji berbanding mendapatkan kemenangan politik.

Tambah Mohd. Na’im, semua pihak perlu bertenang dan memberi ruang kepada institusi berautoriti untuk menjelaskan isu itu dengan merujuk kepada hukum syarak dan konteks semasa.

Katanya, semua pihak perlu mengutamakan adab dan ilmu dalam membahaskan isu-isu agama.

“Marilah kita mengutamakan ilmu dan adab dalam membincangkan isu-isu agama serta sentiasa merujuk kepada saluran yang betul demi menjaga kesucian Islam dan kesejahteraan masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top