NEW DELHI: Sekurang-kurangnya lapan terkorban dan 385 lagi mangsa terselamat selepas rekahan bongkah ais menyebabkan runtuhan salji di utara Uttarakhand, India.
Menurut pihak berkuasa, setakat ini 385 kakitangan Persatuan Sempadan Jalan India (BRO) dan Pihak Berkuasa Jurutera Simpanan Am (GREF) diselamatkan dalam operasi sepanjang malam selepas runtuhan berlaku di daerah Chamoli semalam.
Selain itu, Majistret Daerah Chamoli, Swati S Bhadoriya, berkata enam pekerja yang cedera teruk dibawa ke hospital menggunakan helikopter.
Ratusan pekerja pekerja dikerah membina jalan di wilayah terbabit bagi memperkukuhkan kedudukan tentera India di kawasan sempadan.
Pakar berpendapat projek pembinaan itu menyebabkan tanah runtuh dan gelungsur salji di kawasan Himalaya yang kini terjejas teruk akibat pemanasan global.
Tentera India, dalam satu kenyataan, berkata kem BRO berada dalam runtuhan salji yang berlaku tengah hari semalam ketika ribut salji di daerah Chamoli di Uttarakhand.
Menurut kenyataan, operasi menyelamat ditangguhkan sementara ketika waktu malam berikutan keadaan cuaca buruk namun diteruskan pagi tadi.
Wakil tempatan berkata, mereka sedang menilai jumlah kerosakan dalam kawasan yang terjejas.
Ketua Menteri Uttarakhand, Tirath Singh Rawat berkata kerajaan sudah mengeluarkan amaran dan pihaknya sentiasa menghubungi pihak berkuasa BRO dan tempatan untuk perkembangan selanjutnya.
Sementara itu, Menteri Persekutuan Sumber Air, Gajendra Singh Shekhawat, berkata tragedi itu amat malang pihaknya sedang memantau rapi perkembangan semasa.
Pada Februari lalu, bencana serupa yanh menyebabkan runtuhan salji diikuti banjir mengorbankan sekurang-kurangnya 80 orang di kawasan itu. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd