hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah rentas sempadan apabila merampas lebih 279 kilogram dadah pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM13.6 juta.
Rampasan dilakukan dalam serbuan ke atas stor simpanan dadah di sebuah rumah teres di Bandar Baru Sri Petaling, di sini, Isnin lalu yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.
Operasi hasil maklumat risikan selama dua bulan itu turut membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia 42 dan 43 tahun, yang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah aktif di sekitar Lembah Klang.
Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, Deputi Komisioner Polis Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali, berkata, tangkapan dilakukan kira-kira jam 5.30 petang ketika kedua-dua suspek berada di sebuah kopitiam.
Menurutnya, hasil soal siasat ke atas suspek, membawa kepada pemeriksaan di sebuah rumah berdekatan yang disyaki dijadikan stor penyimpanan dadah.
“Pemeriksaan di bahagian dapur rumah berkenaan menemui 210 bungkusan plastik berisi dadah disyaki ketamin seberat 216.30 kilogram, 55 bungkusan disyaki methamphetamine (57.21 kilogram) dan empat bungkusan dipercayai ekstasi (5.68 kilogram).
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM13.6 juta dan mampu menjejaskan lebih sejuta penagih,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.
Mat Zani berkata, siasatan mendapati dadah berkenaan dipercayai diseludup masuk dari negara jiran di sebelah utara menggunakan jalan laut sebelum dihantar ke Lembah Klang untuk disimpan dan seterusnya diedarkan.
“Dadah itu dipercayai untuk pasaran tempatan serta luar negara, khususnya ke Indonesia dan Hong Kong.
“Untuk penghantaran ke Indonesia dan Hong Kong, sindiket menggunakan perkhidmatan kurier dan keldai dadah dalam kuantiti kecil bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Menurutnya, polis turut merampas dua kereta jenis Honda Civic yang dianggarkan bernilai RM70,000 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
“Siasatan awal juga mendedahkan sindiket ini dipercayai didalangi oleh seorang lelaki yang berada di Thailand, namun identitinya termasuk kewarganegaraan sedang dikenal pasti.
Katanya, sindiket dadah ini dipercayai menjadikan Malaysia bukan sahaja sebagai lokasi pasaran bahan terlarang itu, malah sebagai pusat transit sebelum dadah diseludup keluar negara.
“Kedua-dua suspek yang ditahan dipercayai berperanan sebagai penjaga stor dan penghantar bekalan dadah menerima bayaran berdasarkan jumlah dadah yang disimpan, iaitu dianggarkan lebih RM26,000 dan dibahagikan antara mereka berdua.
“Rumah teres yang dijadikan stor dadah itu dipercayai disewa sejak November tahun lalu dengan kadar sewa RM1,700 sebulan,”katanya.
Mat Zani berkata, ujian saringan air kencing pula mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Semakan rekod menunjukkan seorang daripada mereka mempunyai 10 rekod jenayah antaranya jenayah rompak dan pecah rumah serta tujuh rekod berkaitan dadah, manakala seorang lagi mempunyai satu rekod jenayah dan dua rekod dadah.
“Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 15 April hingga 21 April ini bagi membantu siasatan lanjut,”katanya.
Menurut Mat Zani, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.
“JSJN akan terus menjalankan siasatan bagi mengesan saki-baki rangkaian sindiket yang masih bebas.
“Dalam pada itu,kami menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah menerusi talian hotline JSJN di 012-208 7222,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd