Kempen PRK Ayer Kuning masih 'suam-suam kuku', fasa kedua jadi tumpuan

Kempen PRK Ayer Kuning masih 'suam-suam kuku', fasa kedua jadi tumpuan

Tapah: Minggu pertama kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menyaksikan calon-calon bertanding giat bertemu pengundi namun bahang proses demokrasi itu masih kurang dirasai.

Tinjauan Bernama di sekitar kawasan Ayer Kuning mendapati perang bendera dan poster agak hambar, manakala ceramah berskala besar tidak dianjurkan.

Penganalisis politik Dr Siti Noranizahhafizah Boyman berkata, kempen bagi separuh masa pertama dilihat ‘suam-suam kuku’ dengan calon banyak menggunakan pendekatan berkunjung dari rumah ke rumah yang menjadi kaedah efektif bagi meraih sokongan.

Pensyarah Kanan dan Penyelaras Kluster Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berkata setakat ini, kesemua calon dan parti politik dilihat mengambil langkah berhati-hati dalam kempen untuk mengelak kontroversi.

Pada pengamatannya, Siti Noranizahhafizah berkata, isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja) juga tidak disentuh calon serta parti dalam siri kempen mereka, berbeza dengan PRK sebelum ini.

“Namun, saya ingin tekankan bahawa isu domestik dan setempat masih belum diberikan penekanan sepenuhnya,” katanya kepada Bernama.

Siti Noranizahhafizah yang memantau rapat PRK itu menjangkakan bermula Sabtu ini, calon dan parti politik bertanding akan mengeluarkan ‘senjata utama’ masing-masing sekali gus menghangatkan suasana di Ayer Kuning.

“Keputusan Barisan Nasional (BN) untuk tidak mengadakan ceramah besar-besaran memberi ruang terbuka kepada Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk memanfaatkan pentas kempen berskala besar sebagai medium menarik perhatian pengundi,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan tiada ceramah berskala besar diadakan dalam kempen kali ini, sebaliknya BN mengutamakan pendekatan santuni rakyat dari rumah ke rumah.

Siti Noranizahhafizah berpandangan momentum setakat tujuh hari pertama kempen memihak kepada calon BN Mohamad Yusri Bakir kerana mendapat sokongan kuat parti pemerintah yang menyertai siri kempennya.

Senada dengan Siti Noranizahhafizah, Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Jamaie Hamil berkata, situasi hambar itu perkara biasa kerana kawasan berkenaan ialah kubu kuat BN sekali gus sukar bagi pihak lawan untuk menambat hati pengundi.

Jamaie berkata, parti lawan mungkin ketandusan ‘modal’ untuk menekan parti penyandang, dengan mereka dijangka mengadakan ceramah mega pada separuh masa kedua kempen.

“Sekarang ini, saya lihat di media sosial, mereka (parti yang lawan) hanya menyerang membabitkan perkara remeh-temeh sahaja,” katanya.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir, Abd Muhaimin Malek (PN) dan Bawani KS (PSM).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 26 April ini, manakala pengundian awal pada 22 April.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top