Malaysia perlu fokus keluarkan produk sawit berkualiti – Johari

Malaysia perlu fokus keluarkan produk sawit berkualiti – Johari

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia tetap optimis dan bersedia menyesuaikan strategi eksport minyak sawit meskipun berdepan cabaran tarif baharu dari Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau menjelaskan tarif eksport Malaysia ke AS kini ditetapkan pada kadar 10 peratus, menyamai kadar yang dikenakan kepada Indonesia.

“Eksport kita ke AS pernah tergendala akibat pandemik, tetapi kini kembali rancak. Produk seperti minyak sawit tidak mempunyai banyak alternatif di pasaran global selain Indonesia, maka permintaan masih kukuh,” katanya kepada media di majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Nestle Malaysia, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Malaysia dikenakan tarif timbal balik 24 peratus, manakala Indonesia, 32 peratus.

Bagaimanapun, tarif timbal balik itu ditangguhkan selama 90 hari untuk kebanyakan negara kecuali China.

Johari turut mendedahkan bahawa nilai eksport Malaysia ke AS tahun ini dianggarkan mencecah RM21 bilion, dengan RM4.9 bilion daripadanya disumbangkan oleh produk minyak sawit.

“Selain itu, eksport getah termasuk sarung tangan menyumbang RM8.2 bilion, perabot RM6.5 bilion dan produk koko seperti mentega koko sebanyak RM1.6 bilion.

“Kita perlu ingat bahawa pasaran Malaysia bukan hanya kepada Amerika Syarikat dan Malaysia tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pasaran AS kerana kapasiti eksport yang tidak digunakan boleh dialihkan ke pasaran lain.

“Pasaran AS bukan satu-satunya tumpuan kita. Yang penting, kita terus hasilkan produk berkualiti tinggi, sama seperti Nestle dan syarikat antarabangsa lain tidak hanya mencari harga murah, mereka cari kualiti untuk jaga reputasi jenama mereka,” katanya.

Justeru katanya, pengeksport Malaysia perlu memberi tumpuan lebih banyak terhadap menghasilkan produk berkualiti tinggi pada harga kompetitif.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menekankan komitmen kerajaan terhadap kelestarian dan keterangkuman dalam rantaian nilai minyak sawit negara.

Beliau berkata, sebanyak 450,000 pekebun kecil menjadi tulang belakang sektor ini dan tidak boleh diketepikan dalam pelaksanaan pensijilan lestari.

“Berbeza dengan skim pensijilan antarabangsa yang sering abaikan pekebun kecil, MSPO mengangkat mereka sebagai elemen utama dan kerajaan turut membantu dari segi kos audit pensijilan,” katanya.

Melalui kerjasama dengan syarikat besar yang mempunyai kilang penapis dan kemudahan lain, beliau berkata, kerajaan memastikan hasil pekebun kecil yang sudah diperakui lestari akan dibeli pada harga yang adil dan diproses untuk pasaran global.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top