Saringan akaun media sosial kepada pemohon visa AS yang pernah kunjungi Gaza

Saringan akaun media sosial kepada pemohon visa AS yang pernah kunjungi Gaza

WASHINGTON: Rumah Putih mengarahkan saringan media sosial terhadap semua pemohon visa Amerika Syarikat (AS) yang pernah mengunjungi Gaza pada atau selepas 1 Januari 2007.

Menurut arahan sulit dalaman Jabatan Negara AS yang dilihat Reuters, perintah itu sebagai sebahagian daripada usaha terkini pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, mengetatkan saringan pelawat asing.

Arahan itu menyatakan semakan media sosial terhadap semua pemohon visa imigran dan bukan imigran perlu merangkumi pekerja pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu pernah berada di wilayah Palestin itu atas kapasiti rasmi atau diplomatik.

“Jika hasil semakan media sosial menemui maklumat yang berpotensi memberi ancaman berkaitan isu keselamatan, maka satu SAO (Laporan Keselamatan Rasmi) perlu dikemukakan,” menurut mesej rasmi dalam jabatan berkenaan.

Arahan itu merujuk kepada siasatan antara agensi bagi menentukan sama ada pemohon visa terbabit berpotensi menimbulkan risiko keselamatan kepada AS.

Arahan sulit berkenaan juga dihantar ke semua pejabat diplomatik dan konsular AS.

Langkah itu diambil ketika pentadbiran Trump membatalkan ratusan visa di seluruh negara itu, termasuk status pemastautin tetap sah di bawah undang-undang 1952.

Di bawah undang-undang itu, ia membenarkan pengusiran mana-mana pendatang yang dianggap boleh memudaratkan dasar luar AS oleh Setiausaha Negara AS.

Arahan sulit dalaman Jabatan Negara AS bertarikh 17 April itu ditandatangani oleh Setiausaha Negara AS, Marco Rubio.

Pada hujung bulan lalu, Rubio berkata beliau mungkin sudah membatalkan lebih 300 visa setakat ini.

Scroll to Top