am@hmetro.com.my
Bayan Lepas: Pulau Pinang mencatat sejarah tersendiri apabila diiktiraf sebagai negeri pertama dilengkapi kemudahan peranti papan pintar atau ‘smartboard’ meliputi 100 peratus.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata ia membabitkan 396 sekolah di negeri itu.
Menurutnya, penggunaan teknologi berasaskan skrin sentuh serta papan tulis interaktif itu mampu meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran selari dengan perkembangan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
“Syabas kepada Pulau Pinang, inisiatif ini sangat bermakna untuk kualiti pendidikan khususnya dalam rempuhan teknologi digital dan AI yang kita sedang persiapkan dan mesti disahut khususnya dalam meningkatkan kualiti pendidikan negara.
“Kita juga melihat bagaimana guru menggunakan sepenuhnya keperluan ‘smartboard’ ini di dalam kelas yang saya sangat yakin akan meningkatkan keupayaan guru membantu meningkatkan pendidikan anak-anak kita.
“Sebenarnya, penggunaan ‘smartboard’ ini bukanlah asing kerana sudah diterajui oleh ahli Parlimen Kerajaan Madani dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) khususnya kerajaan negeri Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Fadhlina berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penyerahan Smartboard dan Pengisytiharan Pencapaian 100 peratus Penajaan Smartboard bagi Sekolah-Sekolah Negeri Pulau Pinang yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bayan Lepas, di sini.
Menurutnya, KPM menyasarkan semua sekolah di seluruh negara akan dilengkapi dengan kemudahan peranti ‘smartboard’ menjelang tahun 2027.
Katanya, ketika ini, pihaknya sudah menjadikan pusat kegiatan guru di semua negeri sebagai pusat kecemerlangan hab digital dan AI.
“Jadi mana-mana (sekolah) di negeri, daerah yang belum dilengkapi kemudahan smartboard, boleh menggunakan secara maksimum pusat kegiatan guru yang telah kita naik taraf sebagai pusat kecemerlangan untuk hab digital dan juga AI di seluruh negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd