
Jongkong emas yang ditelan oleh kanak-kanak berkenaan. Sumber gambar TVBS News
SUZHOU – Seorang budak lelaki berusia 11 tahun di Suzhou, China, terpaksa menjalani pembedahan selepas secara tidak sengaja menelan jongkong emas seberat 100 gram (g) ketika bermain di rumah.
Menurut TVBS News, kanak-kanak itu memasukkan jongkong emas ke dalam mulut kerana perasaan ingin tahu.
Selepas tertelan, dia kemudian mengalami sedikit kembung perut tetapi tiada kesakitan atau ketidakselesaan yang serius.
Ibu bapanya segera membawa kanak-kanak berkenaan ke Jabatan Kecemasan di Hospital Kanak-Kanak Universiti Soochow, di mana imej imbasan x-ray menunjukkan satu objek logam padat tersekat di bahagian tengah saluran pencernaannya.

Imbasan imej x-ray yang menunjukkan jongkong emas tersebut berada di sistem pencernaannya. Sumber gambar TVBS News
Berikutan saiz jongkong yang besar dan risiko berlakunya sumbatan atau kecederaan usus, kanak-kanak terbabit dimasukkan ke Jabatan Pembedahan Am untuk pemantauan rapi serta rawatan susulan.
Walaupun tidak menunjukkan gejala kritikal, doktor telah memberikan ubat pelawas dengan harapan jongkong emas tersebut dapat dikeluarkan secara semula jadi.
Namun, selepas dua hari, jongkong emas itu dilaporkan tidak menunjukkan sebarang perubahan dan masih tidak bergerak.
Imbasan x-ray susulan mengesahkan objek logam itu kekal di lokasi yang sama, sekali gus meningkatkan risiko komplikasi serius seperti sumbatan atau kebocoran pada usus.
Susulan itu, pihak hospital mengambil keputusan untuk menjalankan pembedahan segera bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih parah.
Memandangkan usia pesakit yang masih muda dan fungsi usus yang lebih sensitif, pasukan perubatan memilih kaedah endoskopik invasif minimum yang menggunakan kamera dan gelombang bunyi frekuensi tinggi untuk mengeluarkan objek berkenaan.
Pembedahan itu berjaya diselesaikan dalam tempoh 30 minit tanpa sebarang komplikasi.
Kanak-kanak terbabit dilaporkan telah kembali pulih seperti biasa dan dibenarkan makan serta minum pada keesokan harinya sebelum dibenarkan pulang.
Pihak hospital turut menyerahkan semula jongkong emas itu kepada keluarganya dan menasihatkan agar langkah pencegahan diambil bagi mengelakkan kejadian sama berulang.