Dasar Sukan Mesra Islam kaji isu pakaian atlet, judi sukan

Dasar Sukan Mesra Islam kaji isu pakaian atlet, judi sukan

PENYELIDIKAN Dasar Sukan Mesra Islam negeri Kelantan dibangunkan secara holistik merangkumi isu pakaian atlet, fasiliti berasingan, keperluan ruang waktu solat, penajaan halal dan perjudian sukan.

Ketua Penyelidik Dasar Sukan Mesra Islam negeri Kelantan, Prof Dr Abdul Halim Mokhtar berkata, pembangunan dasar meliputi aspek penting dan sensitif dalam industri sukan tersebut kini di fasa pertama dan dijangka siap untuk diuji menjelang Sukma 2028 yang akan berlangsung di negeri ini.

Abdul Halim

Abdul Halim

“Kami meneliti komponen utama antaranya aspek pakaian yang menutup aurat, fasiliti berasingan untuk lelaki dan wanita, keperluan ruang waktu solat, isu penajaan halal serta perjudian sukan.

“Semuanya dilihat secara holistik agar tidak bercanggah dengan prinsip Islam dan dalam masa sama tidak menyekat perkembangan sukan secara umum,” katanya ketika ditemui selepas Sidang Meja Bulat Siri Ke-2: Pelaksanaan Polisi dan Dasar Sukan Mesra Islam Kelantan di sini pada Khamis.

Beliau yang juga pensyarah Jabatan Perubatan Sukan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaysia berkata, aspek-aspek lain juga akan ditambah dan dilihat dari masa ke masa melalui pelaksanaan dasar berperingkat iaitu tiga fasa termasuk sesi libat urus bersama atlet, jurulatih, pengurus, mufti dan exco negeri seluruh negara.

Dasar Sukan Mesra Islam negeri Kelantan dibincangkan ketika persidangan yang berlangsung pada Khamis. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

Dasar Sukan Mesra Islam negeri Kelantan dibincangkan ketika persidangan yang berlangsung pada Khamis. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

Katanya, dasar itu bukan bersifat paksaan tetapi lebih kepada memberi pilihan kepada atlet yang mahu mengamalkan prinsip mesra Islam dalam sukan.

“Kita mahu menjadikan Kelantan sebagai perintis dasar ini, dan sekiranya berjaya, dasar tersebut boleh menjadi model kepada negeri lain dan peringkat antarabangsa.

“Seperti sijil halal, bukan wajib tetapi jika mahu ikut, perlu patuh kepada syarat ditetapkan, prinsip yang sama terpakai kepada dasar ini,” katanya.

Beliau berkata, antara cabaran utama dasar tersebut adalah bagi sukan seperti renang, gimnastik dan berbasikal yang menuntut pemakaian khusus dan mungkin sukar disesuaikan.

Jelasnya, kajian awal menunjukkan terdapat ruang fleksibiliti dalam peraturan antarabangsa yang membolehkan penyesuaian dibuat tanpa menjejaskan prestasi atlet.

“Kita sedang menjalankan kajian terhadap keselesaan atlet dan sama ada perubahan dari segi pemakaian atau fasiliti akan memberi kesan terhadap prestasi.

“Sebab itu penting kita jalankan fasa percubaan sebelum Sukma 2028 termasuk uji dasar ini dalam satu atau dua jenis sukan terlebih dahulu,” katanya.

Abdul Halim berkata, pendekatan mesra Islam tidak bermaksud inklusif dan terbuka kepada semua yang mahu mengamalkannya.

“Islam bukan menyekat sukan, kita nak ‘kahwinkan’ nilai Islam dengan sukan secara harmoni dan profesional. Ini dasar mesra, bukan penguatkuasaan.

“Matlamat akhir kami ialah dasar yang diuji, mantap dan diterima oleh pelbagai pihak, termasuk bukan Muslim,” katanya.

Scroll to Top