Onana kembali kawal gawang Manchester United

Onana kembali kawal gawang Manchester United

RUBEN Amorim, kembali mempertaruhkan Andre Onana sebagai penjaga gol The Red Devils apabila melayan Olympique Lyon dalam aksi kedua suku akhir Liga Europa di Stadium Old Trafford biarpun kesilapan perlawanan pertama masih segar dalam ingatan penyokong-penyokong kelab itu.

“Onana akan bermain esok (Jumaat)… Sebagai seorang jurulatih dan juga bekas pemain bola sepak, saya sentiasa berusaha untuk melakukan segala-galanya yang terdaya bagi membantu seorang pemain yang sedang berdepan dengan situasi yang sukar seperti ini.

“Kadangkala, perbincangan kita tertumpu kepada pengurusan pemain dari sudut fizikal semata-mata, namun kita juga perlu memberikan perhatian sama terhadap pengurusan aspek mental mereka.

“Kami telah melalui satu hujung minggu di mana saya merasakan adalah lebih baik untuk Onana tidak beraksi dan memberikan peluang yang sewajarnya kepada Altay (Bayinder) untuk membuktikan kemampuannya di padang,” kata pengendali United itu.

Sebelum ini, Onana sebelum ini menjadi sasaran kritikan hebat pelbagai pihak berikutan beberapa kekhilafan yang menyumbang kepada jaringan gol Lyon semasa aksi pertama di Parc Olympique Lyonnais yang berkesudahan dengan keputusan seri 2-2.

Rentetan insiden tersebut, penjaga gol Cameroon itu tidak diturunkan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Newcastle United yang menyaksikan kekalahan memalukan United dengan jaringan 1-4, dengan Altay Bayindir diberi kepercayaan mengantikan Onana.

Kesilapan yang dilakukan Onana berlaku sehari selepas pemain tengah Lyon, Nemanja Matic, secara terbuka menyifatkan penjaga gol berusia 29 itu sebagai salah seorang penjaga gol yang paling mengecewakan dalam sejarah United.

Sementara itu, dalam perkembangan yang berasingan, United menerima tamparan hebat apabila penyerang berbisa dari Belanda, Joshua Zirkzee, disahkan tidak akan dapat beraksi sehingga penghujung musim 2025.

Beliau mengalami kecederaan hamstring yang serius semasa perlawanan menentang Newcastle United di St James’s Park.

“Joshua tidak akan dapat bermain untuk baki musim ini, oleh itu, tumpuan kita kini adalah untuk mempersiapkannya sepenuhnya bagi menghadapi musim depan.

“Ini merupakan satu kerugian yang besar pada saat ini kerana beliau menunjukkan peningkatan memberangsangkan dalam semua aspek permainannya, dan adalah sukar bagi mana-mana pemain untuk menerima hakikat bahawa mereka terpaksa menghentikan perjuangan mereka di tengah jalan,” kata Amorim mengenai pemain muda berusia 23 tahun yang telah menyumbangkan tujuh jaringan gol dan tiga bantuan gol dalam semua pertandingan musim ini.

Scroll to Top