Syafiq bakal tinggalkan Kedah, sertai pasukan Lembah Klang?

Syafiq bakal tinggalkan Kedah, sertai pasukan Lembah Klang?
Syafiq bakal tinggalkan Kedah, sertai pasukan Lembah Klang?

Perkongsian Syafiq di media sosial yang mengundang rasa sedih penyokong KDA FC.

KHABAR angin bertiup kencang mengenai masa depan penyerang Harimau Malaya, Syafiq Ahmad yang dilihat bakal meninggalkan Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas tamat saingan Liga Super musim ini.

Dalam perkongsian di InstaStory miliknya, Syafiq dilihat sedang mengemas barang-barang dari kediamannya, memberi isyarat jelas bahawa khidmatnya bersama Sang Kenari mungkin bakal berakhir.

“Dua kali kami memilih untuk balik ke negeri Kedah tapi bukan rezeki kami. Semoga dipermudahkan segala urusan. Next 2025/26,” tulisnya.

Dengan masa depan yang tidak menentu, terdapat spekulasi bahawa penyerang ini mungkin menyertai salah satu pasukan di Lembah Klang.

Rata-rata penyokong berharap Syafiq dapat menyertai kelab yang mampu memberikan minit permainan kepadanya seperti diperolehinya bersama KDA FC dengan 15 penampilan pada musim ini.

Menurut mereka, pemain kelahiran Sungai Ara, Pulau Pinang itu bakal berdepan saingan sengit untuk mendapatkan tempat kesebelasan utama jika kembali ke majikan asalnya, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Persaingan sengit daripada pemain import Harimau Selatan seperti Bergson da Silva, Heberty Fernandes, dan Romel Morales sebelum ini menyaksikannya banyak memanaskan bangku simpanan sahaja.

“Jika mahu mendapatkan peluang bermain yang lebih banyak, memang Selangor FC adalah tempat untuk Syafiq,” ulas salah seorang peminat bola sepak tempatan di media sosial.

Scroll to Top