Pelakon Azhar Sulaiman memuat naik perkongsian di Facebook mengajak orang ramai untuk infaq serta menghulurkan sumbangan untuk menaik taraf sebuah masjid di Sungai Buloh.
Menerusi perkongsian itu, Azhar berkata dia tidak mempunyai wang berjuta dan dia bukan kariah masjid tersebut.
BACA: Azhar Sulaiman Tak Setuju Tiga Penyampai Radio Digantung Tugas
Bagaimanapun, Azhar berkata dia dan rakan-rakan selalu menunaikan solat di masjid itu kerana sering melakukan penggambaran di kawasan berkenaan.
Tambahnya lagi, dia mahu menggunakan pengaruh yang dimiliki untuk membantu dari segi kos menaik taraf masjid berkenaan.
“Saya dan ramai warga seni selalu tumpang bersolat di masjid ini sebab kami selalu melakukan pengambaran di bangunan terbengkalai di belakang masjid ini.
“Maka dengan power mempengaruhi saya dan kita semua di sini, marilah kita ramai-ramai membantu menaik taraf masjid yang satu-satunya ada di kawasan Pekan Sungai Buloh ini,” tulisnya.
Turut menjadi perhatian, diruangan komen Azhar turut menyatakan maklumat mengenai Masjid Jamek Pekan Sungai Buloh itu sebagai bukti bahawa masjid terbabit dibina diatas tanah yang sah.
Dalam perkembangan terbaru, Azhar memaklumkan pihak masjid telah menerima sumbangan mencecah lebih RM2 juta serta meluahkan rasa syukur di atas usaha orang ramai.