Doktor pakar sakit puan kantoi cabul ibu hamil

Doktor pakar sakit puan kantoi cabul ibu hamil
Doktor pakar sakit puan kantoi cabul ibu hamil

Perbuatan tidak bertanggungjawab MFS dirakamkan CCTV. Foto Agensi

GARUT – Warganet gempar dengan video tular memaparkan seorang doktor mencabul pesakitnya ketika sedang memeriksa kehamilan.

Insiden itu didakwa telah dilakukan doktor pakar sakit puan dikenali sebagai M Syafril Firdaus atau MFS di Klinik Sekar Kusuma, Jalan Beko No.1 Kampung Asem Kulon, Desa Keresek, Kecamatan Cibatu, Kabupaten Garut, Jawa Barat (Jabar).

Jurucakap polis, Joko Prihatin berkata, mereka belum menerima sebarang aduan daripada mana-mana mangsa dan siasatan lanjut berdasarkan maklumat yang tersebar di media sosial sedang dilakukan.

“Proses itu mengambil masa melainkan jika ada mangsa yang tampil kepada pihak berkuasa. Insiden itu dipercayai berlaku di dua klinik di wilayah kota pada tahun lalu,” ujarnya.

Aksi tidak senonoh itu dirakamkan sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang jelas menunjukkan MFS meraba payudara ibu hamil berkenaan sambil sebelah lagi tangannya memegang alat untuk memeriksa kandungan.

Ruangan komen sarat dengan kecaman ke atas doktor berkenaan malah ada yang mengaku pernah menjadi mangsanya, namun tidak berani membuka mulut.

Salah seorang daripadanya dikenali sebagai Putri.

“Kejadian itu berlaku pada 2023, namun tiada bukti untuk mendakwanya. Alhamdulillah Ya ALLAH, akhirnya ada yang berani bersuara,” ujarnya.

Beberapa komen mendedahkan pelaku mendekati mangsanya dengan cara meminta nombor WhatsApp dan cuba memperdaya mereka dengan tawaran pemeriksaan kandungan secara percuma. – Agensi

Scroll to Top