Pentadbiran Trump batal program pertanian mesra iklim RM13.2 bilion

Pentadbiran Trump batal program pertanian mesra iklim RM13.2 bilion
Pentadbiran Trump batal program pertanian mesra iklim RM13.2 bilion

Pentadbiran Biden sebelum ini menjangka inisiatif itu akan memberi manfaat kepada lebih 60,000 petani dan mengurangkan lebih 60 juta tan pelepasan karbon.

ISTANBUL – Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (AS) pada Isnin mengumumkan pembatalan program pertanian berfokuskan iklim bernilai AS$3 bilion (RM13.2 bilion), selepas semakan mendapati ia tidak selari dengan keutamaan pentadbiran Presiden Donald Trump, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Program itu, yang dikenali sebagai Perkongsian untuk Komoditi Pintar Iklim atau PCSC dilancarkan di bawah pentadbiran bekas Presiden Joe Biden.

“Menerusi semakan terperinci terhadap setiap projek dalam program era Biden ini, didapati kebanyakan projek mengenakan caj pentadbiran yang terlalu tinggi dan dalam banyak kes, kurang separuh daripada dana persekutuan disalurkan terus kepada petani,” menurut kenyataan jabatan itu.

Anadolu melaporkan jabatan itu menyatakan sebahagian projek mungkin diteruskan jika dapat dibuktikan yang sebahagian besar dana yang diberikan disalurkan terus kepada petani.

“Inisiatif Perkongsian untuk Komoditi Pintar Iklim sebahagian besarnya diwujudkan untuk menyokong agenda penipuan hijau demi kepentingan NGO, bukan untuk petani Amerika,” kata Setiausaha Pertanian Brooke Rollins.

PCSC menyokong usaha seperti penanaman tumbuhan untuk mencegah hakisan dan penambahbaikan pengurusan nutrien bagi mengurangkan kesan alam sekitar dalam sektor pertanian.

Pentadbiran Biden sebelum ini menjangka inisiatif itu akan memberi manfaat kepada lebih 60,000 petani dan mengurangkan lebih 60 juta tan pelepasan karbon.

Pada hari pertama kembali mentadbir, Presiden Trump menandatangani perintah eksekutif untuk menarik AS keluar daripada Perjanjian Iklim Paris, sekali gus membatalkan keputusan Biden untuk menyertai semula. Trump juga mengeluarkan arahan baharu bagi meningkatkan pengeluaran arang batu domestik. – Bernama-Anadolu

Scroll to Top