am@hmetro.com.my
Tangkak: Hasrat seorang lelaki warga emas merawat ahli keluarganya yang didakwa diganggu makhluk halus berakhir dengan kerugian RM445,000 selepas ditipu kenalannya yang menawarkan rawatan tradisional.
Mangsa yang juga pesara berusia 70 tahun ditawarkan khidmat terbabit oleh suspek selepas mendakwa keluarganya sering diganggu makhluk halus.
Ketua Polis Daerah Tangkak Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, bagi mendapatkan rawatan itu, mangsa perlu menyerahkan wang dan barangan kemas kepada kenalannya itu.
“Bermula Mac hingga awal bulan ini, mangsa menyerahkan wang serta barangan kemas kepada suspek sebelum menyedari ditipu. Mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Tangkak, semalam,” katanya pada kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai perlu peka dan berwaspada dengan tawaran seperti ini supaya tidak menjadi mangsa penipuan,” pesannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd