Wah! Terkejut juga Cik Bunga apabila ada teman industri seni maklumkan perangai seorang pelakon veteran ini kepada kita tempoh hari.
Katanya, ini bukan reka-rekaan. Dia sendiri nampak depan mata katanya semasa sedang berjalan di sebuah pusat membeli belah terkemuka di ibu negara.
Menurut sumber Cik Bunga ini, pelakon veteran yang pernah berlakon drama bersiri popular arahan seorang pengarah tersohor tanah air ini rupanya ada sisi hitam juga di sebalik wajahnya yang nampak baik itu.
Kata sumber, di pusat membeli belah itu, selamba sahaja pelakon berkenaan berdua-duaan dengan seorang wanita persis perempuan lorong di sebuah kedai makan. Bergelak ketawa, bertepuk tampar, pendek kata macam orang sedang angau bercinta.
Apa dia fikir orang tidak kenal diakah? Cik Bunga pun awalnya cubalah husnuzon, mungkin sumber itu tersalah tengok dan mana tahu wanita itu sebenarnya adalah isteri dia sendiri.
“Apa Cik Bunga ingat saya ini tak pandai tengok orangkah? Sah sah itu perempuan lorong, tengok pada gaya dan wanita itu pun bukan warganegara sini. Saya cek di media sosial milik pelakon veteran itu dan ternyata perempuan itu bukan isteri dia.
“Naik geli geleman juga tengok gelagat pelakon veteran itu Cik Bunga. Tak padan dengan sudah berusia, ada skandal dengan perempuan lorong pula. Bila nak bertaubat!” luah sumber dalam nada kecewa.
Pelik juga Cik Bunga sebab selama ini, Cik Bunga rasa tidak pernah dengar lagi perihal tak baik mengenai pelakon itu sebelum ini.
Nampak baik sahaja. Tapi itulah, nama pun lelaki kan, kalau dah gatal itu, tak kira dah berusia atau tidak. Ada orang pernah cakap, lelaki ini adakala semakin tua semakin menjadi-jadi.
Tengok orangnya jugalah ya. Perangai manusia ini tak semuanya sama. Pada yang miang tak habis-habis itu, kalau tak bertaubat segera, memang sampai ke tualah perangai itu melekat.
Tak dapat Cik Bunga nak bayangkan wajah pelakon veteran itu. Kalau terjumpa selepas ini, takut reaksi wajah Cik Bunga tak dapat hendak sorok. – UTUSAN