Banjir: Air naik cepat, banyak barang hanyut termasuk kuih raya

Banjir: Air naik cepat, banyak barang hanyut termasuk kuih raya

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kajang: “Mahu ajak atau terima kehadiran tetamu yang mahu datang beraya pun sudah tiada ‘mood’ kerana keadaan rumah sudah tidak mengizinkan akibat banjir semalam,” kata Zahid Asyraf Zainal Abidin.

Zahid Asyraf, 31, antara penduduk Kampung Sungai Merab Luar, di sini yang terjejas banjir kilat akibat hujan lebat, semalam.

Jurutera itu berkata, biarpun banjir sudah surut sepenuhnya sejak pagi, semalam namun ia meninggalkan kesan serius kepada mereka apabila banyak barang rosak termasuk kenderaan, malah sehingga kini mereka masih bertungkus lumus membersihkan rumah.

Menurutnya, dia dan isteri serta anak perempuan berusia dua tahun juga berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam rumah kira-kira dua jam sebelum diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kira-kira jam 4 pagi.

“Paras air dalam rumah setinggi paras pinggang (kira-kira lebih semeter) dan di luar lebih tinggi. Barangan dalam rumah seperti barang elektrik, sofa, katil, tilam dan almari semua rosak dan ada yang sudah dibuang. Banyak juga barang hanyut termasuk kuih raya.

“Sebuah kereta dan motosikal saya rosak. Kereta sudah dihantar ke bengkel dan ambil masa lebih sebulan untuk dibaiki. Sekarang kami terpaksa menggunakan kereta mentua sementara kereta kami dibaiki,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui, di sini, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Zainal Abidin Ahmad, 62, mengakui kampung mereka kerap dilanda bah namun menyifatkan banjir kilat semalam agak teruk kerana paras air melepasi tembok yang dibina di rumah ibunya, malah air naik dengan cepat dalam masa 30 minit.

“Air memang akan masuk ke dalam rumah tetapi tidaklah setinggi kali ini. Hujan memang lebat (dan selalu banjir) tetapi kali ini air (banjir) datang seperti kepala air.

“Semalam, dalam masa 30 minit saja air sudah setinggi kira-kira 1.8 meter dalam rumah, biasanya dalam tempoh itu sikit-sikit air akan naik dan tidak lama kemudian akan surut, jadi sempat kita nak kemas barang.

“Kali ini tak sempat nak kemas banyak barang dan ada lima kereta penduduk yang ditenggelami air termasuk kereta anak saya. Saya sempat ambil barang penting seperti kad pengenalan selain memindahkan kucing peliharaan ke tempat selamat,” katanya.

Sementara itu, kariah Surau Al Umumiyah (Surau Hijau) Kampung Sungai Merab Luar, Muhammad Ashraf Zamri, 27, berkata, kawasan berhampiran surau itu juga terjejas banjir berlumpur.

Katanya, dia berpandangan banjir kerap berlaku di kampung berkenaan kerana kolam tebatan banjir yang terletak kira-kira 500 meter dari surau itu sudah lama tidak diselenggara.

“Kalau hujan lebat biasanya memang banjir kilat dan kawasan sekitar surau juga akan dinaiki air. Setiap kali banjir ahli kariah akan bergotong-royong membersihkan kawasan Surau Hijau.

“Kolam tebatan banjir sudah lama tidak diselenggara oleh pihak berkenaan dan rasanya sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pihak berkenaan melakukan kerja selenggara.

“Saya berharap pihak berkenaan dapat membuat penyelenggaraan di kolam itu. Sampai bila penduduk perlu berdepan dengan banjir kerana setiap kali hujan lebat biasanya kerap banjir kilat, jadi kalau kolam diselenggara dapat membantu masalah ini,” katanya.

Penduduk, Muhd Ridhwan Zulkifli, 26, berkata, dia terpaksa membina penghadang simen pada pintu utama, dapur dan bilik air bagi mengelakkan air banjir masuk dalam rumah sewanya kerana sebelum ini banyak barang rumah rosak akibat banjir.

“Saya buat penghadang itu untuk elak air banjir masuk rumah tetapi kali ini air agak deras dan masuk juga dalam ruman walaupun hanya para buku lali (kira-kira 0.1 meter) tetapi di luar air tinggi hampir dua meter,” katanya.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar ketika dihubungi memaklumkan pemantauan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dengkil pada 9.50 pagi, semalam mendapati banjir di kampung berkenaan sudah surut.

Semalam media melaporkan, sebanyak 12 rumah di Kampung Sungai Merab Luar, di sini, dinaiki air susulan hujan lebat berterusan sejak jam 2 pagi, semalam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top