Pemilihan PKR Kedah peringkat AMK batal, tunda esok

Pemilihan PKR Kedah peringkat AMK batal, tunda esok

ALOR SETAR: Proses pemilihan melibatkan Angkatan Muda Keadilan (AMK) peringkat cabang di negeri ini telah dibatalkan dan pengundian semula dijadualkan esok.

Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dalam satu notis memaklumkan, kesemua ahli AMK dan wanita muda 35 tahun ke bawah diminta menjalankan pengundian semula bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang esok.

Bagaimanapun, notis tersebut tidak menyebut faktor pembatalan pemilihan peringkat AMK itu, namun difahamkan ia berkaitan isu teknikal untuk pengundian secara dalam talian.

“Keseluruhan pengundian peringkat AMK cabang seluruh Kedah hari ini dibatalkan dan proses pengundian semula peringkat kepimpinan itu akan dijalankan semula pada Sabtu, 12 April,” menurut notis itu hari ini.

Notis sama memaklumkan, ahli AMK dan wanita muda tetap perlu mengundi untuk peringkat cabang dan wanita sebelum pukul 8 malam hari ini setelah waktu mengundi dilanjutkan sejak 5 petang ini.

“Tempoh pemilihan bagi seluruh Kedah akan dilanjutkan sehingga 8 malam ini bagi semua cabang yang terlibat dengan pertandingan. Perkara ini terpakai bagi semua ahli yang layak mengundi pada peringkat cabang dan wanita cabang,” katanya.

Sementara itu, seorang ahli AMK PKR yang enggan dinamakan berkata, masalah itu dipercayai berpunca daripada kolum pengundian untuk jawatan AMK tidak terdapat pada sistem undian secara dalam talian.

“Kedah adalah negeri pertama yang menggunakan teknologi blockchain dalam sistem Pemilihan Keadilan 2025 kali ini menerusi aplikasi ADIL. Mungkin pihak JPP tidak bersedia terhadap beberapa isu teknikal seperti trafik penggunaan sistem itu yang menyebabkan timbul beberapa masalah termasuk tidak boleh akses,” katanya.

Oleh itu, dia berharap isu tersebut dapat diatasi segera oleh JPP kerana beberapa negeri lagi akan menggunakan sistem sama esok bagi pemilihan peringkat cabang masing-masing.

Seramai 19,356 ahli PKR Kedah layak mengundi pada pemilihan parti itu kali ini dengan 19,003 orang daripadanya mengundi secara dalam talian iaitu sebanyak 98.2 peratus.

Baki ahli sekitar 1.8 peratus atau 280 orang pula menunaikan tanggungjawab mengundi masing-masing secara fizikal di keseluruhan 15 cabang. – UTUSAN

Scroll to Top