Guru maut, kereta dipandu bertembung lori sawit

Guru maut, kereta dipandu bertembung lori sawit

am@hmetro.com.my

Kuantan: Guru maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan lori di Kilometer 104, Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Ladang Teh Dara, Rompin hari ini.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mandoi berkata, Maryam Nabilah Muzammil, 26, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Bukit Serok, Muadzam Shah meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada 2.30 petang dan siasatan awal mendapati kereta mangsa dipandu dari arah Segamat menghala Muadzam Shah.

“Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori muatan sawit.

“Mangsa meninggal dunia, manakala pemandu lori tidak cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada 2.14 petang.

Katanya, anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan penyelamat dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top